Anda di sini

86.5 peratus tunggakan permohonan tanah selesai di Sabah

Advertisement
NIZAM
NIZAM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur berjaya mengurangkan sebanyak 86.5 peratus jumlah tunggakan permohonan tanah dalam tempoh kurang dari lapan tahun.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, berdasarkan statistik permohonan tanah, jumlah tunggakan pada 1 Januari 2015 adalah sebanyak 280,695 dan jumlah berkenaan berjaya dikurangkan kepada 37,857 setakat 31 Oktober 2022.

Katanya, Jabatan Tanah dan Ukur akan berusaha untuk menyelesaikan baki tunggakan permohonan tanah berkenaan pada 2023.

"Melalui Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang diwujudkan untuk menangani isu pemilikan tanah anak negeri di luar bandar, pengukuran berdasarkan pendudukan di atas tanah sehingga pengeluaran geran tanah ditetapkan dalam tempoh 12 bulan.

"Bilangan geran tanah yang dikeluarkan di bawah program PANTAS dari 2012 sehingga 31 Oktober 2022 adalah sebanyak 27,572 geran melibatkan kawasan seluas 42,429.26 hektar. 

"Melalui Program PANTAS, peratusan pemilikan tanah hak milik anak negeri di Sabah dapat ditingkatkan dari 24.5 peratus kepada 42.7 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) mengenai strategi kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak milik tanah khususnya di luar bandar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Nizam berkata, jumlah pemilikan tanah pada 2010 membabitkan keluasan tanah 477,171 hektar daripada 1,946,087 hektar jumlah tanah berhak milik.

Katanya, jumlah berkenaan berjaya ditingkatkan kepada 1,135,116 hektar daripada jumlah 2,655,683 hektar tanah berhak milik pada 2021.

"Strategi utama yang diambil bagi menyelesaikan tunggakan permohonan tanah di semua daerah adalah dengan melaksanakan inisiatif memproses semua permohonan tanah secara berkelompok berdasarkan kawasan yang dipohon.

"Pendekatan itu diambil dengan mengaplikasikan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) serta teknologi geospatial terkini. 

"Di antara masalah yang sering dihadapi oleh Jabatan Tanah dan Ukur semasa proses pengukuran dijalankan adalah pemohon tanah tidak dapat dihubungi disebabkan alamat yang dinyatakan dalam borang permohonan tanah tidak lengkap atau tidak dikemas kini disebabkan pemohon bekerja di luar daerah atau pemohon berhijrah ke tempat lain," jelasnya. 

Selain itu katanya, masalah tuntutan atau bantahan ke atas permohonan tanah yang hendak diukur menyebabkan proses pengukuran tertangguh dan terpaksa dirujuk ke Pejabat Tanah di daerah berkenaan untuk siasatan dan penyelesaian mengikut prosedur dan perundangan yang tersedia.

  • oleh
  • Advertisement