Anda di sini

18 kelab, persatuan sertai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala GABUNGAN

Advertisement
 Abqaree dan Mazlan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan itu.
ALBUM: Abqaree dan Mazlan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan itu.



BEAUFORT: Sebanyak 18 persatuan belia di bahagian pedalaman bawah menyertai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN) yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak, baru-baru ini.


Pengerusi GABUNGAN, Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, kejohanan tersebut merupakan anjuran Gabungan bersama Majlis Belia Sabah (MBS) yang julung kali diadakan membabitkan beberapa kelab serta persatuan belia di bahagian pedalaman bawah.


Jelas beliau, berikutan penyertaan yang menggalakkan Gabungan akan mengadakan kejohanan itu setiap tahun malah akan dijadikan sebagai program utama gabungan persatuan belia bahagian pedalaman bawah.


"Kejohanan yang diadakan ini telah disertai oleh kira-kira 18 persatuan-persatuan belia di bahagian pedalaman bawah. Ianya diadakan tertutup dan khas untuk kelab dan persatuan-persatuan belia di bahagian pedalaman bawah dengan penyertaan secara percuma.


"Selain bertujuan memupuk di antara pimpinan dan ahli persatuan belia di bahagian pedalaman bawah, kejohanan yang diadakan itu juga mengiktiraf kewujudan dan penglibatan persatuan belia dengan aktiviti sihat.


"Disamping itu juga, ia bertujuan menggalakkan belia-belia di luar bandar dan kampung-kampung mewujudkan persatuan belia agar mereka mempunyai platform rasmi bagi mengadakan program, " katanya ketika ditemui selepas perasmian kejohanan yang disempurnakan oleh Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.

 Abqaree melakukan sepakan sebagai gimik perasmian kejohanan yang diadakan sambil diperhatikan oleh Mazlan.
SIMBOLIK: Abqaree melakukan sepakan sebagai gimik perasmian kejohanan yang diadakan sambil diperhatikan oleh Mazlan.


Dalam pada itu, Abqaree ketika berucap merasmikan kejohanan itu berkata, MBS akan mengadakan kejohanan seumpama itu untuk badan gabungan Majlis Belia Sabah yang dinamakan sebagai Pesta Sukan Dan Kebudayaan Belia Sabah.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan atas penganjuran kejohanan yang diadakan julung kalinya dengan penglibatan khusus daripada persatuan-persatuan belia di bahagian pedalaman bawah.


"MBS sentiasa akan menjadi payung dan pusat rujukan kepada persatuan-persatuan belia di Seluruh Sabah melalui Badan-badan gabungan MBS.

 
"MBS juga akan sentiasa membantu dan menyokong apa sahaja aktiviti yang boleh mengangkat dan menonjolkan potensi diri anak muda di negeri ini, " katanya.

 

  • oleh
  • Advertisement