Anda di sini

Sarawak eksport elektrik ke Sabah menjelang 2024

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak dijangka mengeksport bekalan elektrik sebanyak 30 megawatt (MW) ke Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjelang tahun 2024.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi (gambar) berkata, sasaran eksport bekalan elektrik itu bergantung kepada penyiapan projek Northern Grid Extension.

“Buat masa ini bekalan elektrik ke Sabah masih lagi dalam peringkat rundingan komersial.

“Jumlah tenaga yang dieksport ini hanya merupakan dua peratus sahaja daripada kapasiti sedia ada yang berjumlah 5,996MW,” ujarnya semasa ucapan penggulungan kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Untuk rekod, Julaihi berkata, penggunaan elektrik di Sarawak sekarang adalah berjumlah 4,398MW. 

“Ini bermakna, kita masih mempunyai baki sebanyak 1,478MW yang mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam negeri, termasuk penyambungan di bawah Skim Additional Late Applicant Fund (ALAF) yang sedang dan masih dilaksanakan sekarang. 

“Tarif yang dikenakan ke atas tenaga yang dieksport ini adalah lebih tinggi daripada tarif kegunaan tempatan,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya melalui Sarawak Energy telahpun membekalkan elektrik ke Kalimantan sejak 2016 dengan purata permintaan bekalan elektrik sehingga September 2022 adalah 89.6MW.

Sementara itu, Julaihi berkata, kementeriannya komited untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh pelosok Sarawak menjelang tahun 2025.

Usaha itu katanya, dapat dilihat menerusi liputan bekalan 
elektrik luar bandar yang kini telah mencapai 97.1 peratus.

Menurutnya, sejumlah RM2.37 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2019 bagi mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat. 

“Semenjak itu, sejumlah 23,319 isi rumah telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam sehingga suku ketiga tahun 2022.

“Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak 20,445 isi rumah, 14,408 isi rumah pada tahun 2020 dan sebanyak 7,798 isi rumah pada tahun 2019,” ujar beliau.

Bagaimanapun katanya, dianggarkan terdapat 11,700 isi rumah masih belum mendapat bekalan elektrik di kawasan luar bandar.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan sambungan talian grid akan dipanjangkan ke kawasan luar bandar yang mempunyai jalan akses. 

Manakala, sistem sistem kendiri (off-grid) melalui hibrid dan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) sedang dan akan diteruskan untuk kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan akses, jelasnya.


 

Advertisement