Anda di sini

Permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan sebulan

Advertisement

Ia adalah keputusan bagi permohonan DSITKS kepada individu atau kanak-kanak di bawah usia 21 tahun: Fatimah 

Fatimah (kanan) menunjukkan arahan penting yang perlu dilengkapkan bagi permohonan DSITKS sambil ditemani Awang Afferoz (kiri) di DUN hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon
Fatimah (kanan) menunjukkan arahan penting yang perlu dilengkapkan bagi permohonan DSITKS sambil ditemani Awang Afferoz (kiri) di DUN hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

"Dokumen ini khusus untuk memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak dan ia bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.” 

Dato Sri Fatimah Abdullah
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti 

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Keputusan bagi status akan diberi dalam tempoh sebulan untuk permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) kepada individu atau kanak-kanak di bawah usia 21 tahun.

Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada sidang media Penyerahan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan kepada penerima kanak-kanak, Mikayla Hanna di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

"Dokumen ini khusus untuk memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak dan ia bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.

"Sejak 1 November hingga hari ini 29 November, pihak kita telah menerima sebanyak 60 permohonan dan dalam tempoh sebulan ini adalah jumlah yang agak besar," katanya.

DSITKS boleh dipohon terus di kementerian atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat. 

Bagi tujuan ini, pemohon hendaklah memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus warganegara Belum Ditentukan dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

Program jangkauan bersepadu yang proaktif akan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPSS) bersama rakan strategik termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak dan Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak.

Pihaknya merancang ke Pusat Sokongan Dalam Komuniti (CSSC) Kuching, Jalan Abell pada 2 Disember, di Sepupok, Niah pada 8 Disember, di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada 10 Disember dan di Destiny for Children Centre, Sibu pada 12 Disember. 

Tindakan proaktif tersebut adalah untuk mendekati lebih ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan menjelang penggal baharu persekolahan yang bermula Mac 2023.

Menyentuh tentang Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak (JKKKSK), Fatimah berharap ia dapat diaktifkan selaras dengan penubuhan kabinet baharu persekutuan.

JKKKSK yang ditubuhkan pada 23 Ogos 2016 telah membantu mempercepatkan proses permohonan di bawah perkara 15A agar kanak-kanak dapat bersekolah, menerima bantuan dan perkhidmatan sewajarnya sesuai dengan status sebagai warganegara Malaysia.

Selain menapis dan membuat semakan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembangaan Persekutuan sebelum dipanjangkan ke Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

"JKKKSK bertujuan meneliti permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi kanak-kanak di bawah usia 21 tahun yang diterima di negeri Sarawak.

"Sebelum permohonan dikemukakan, kanak-kanak tersebut hendaklah terlebih dahulu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak Awang Afferoz Awang Marikan.
 

Advertisement