Anda di sini

Pengurus bank Iran dipecat kerana melayani wanita tidak bertudung

Advertisement
Tangkap layar video UGC pada Jumaat lalu menunjukkan sekumpulan wanita berarak membawa sepanduk antirejim di bandar Zahedan, wilayah Sistan-Baluchistan. - Gambar AFP
Tangkap layar video UGC pada Jumaat lalu menunjukkan sekumpulan wanita berarak membawa sepanduk antirejim di bandar Zahedan, wilayah Sistan-Baluchistan. - Gambar AFP


TEHERAN: Seorang pengurus bank yang melayani seorang wanita yang tidak bertudung telah dipecat, lapor media tempatan Iran kelmarin, ketika tunjuk perasaan yang berpunca daripada peraturan bertudung mandatori tersebut menggegarkan republik Islam berkenaan.

Wanita di negara mempunyai lebih 80 juta penduduk itu diwajibkan menutup kepala, leher dan rambut  mereka dalam undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis moral.

Kematian Mahsa Amini,22,  pada 16 September lepas semasa dalam tahanan polis moral kerana dikatakan melanggar peraturan itu, menimbulkan tunjuk perasaan di seluruh negara yang digelar oleh pihak berkuasa sebagai 'rusuhan'.

Agensi berita Mehr melaporkan bahawa pengurus bank di wilayah Qom, berhampiran ibu negara Tehran, telah memberikan perkhidmatan bank pada Khamis lepas kepada seorang wanita yang tidak bertudung.

Akibat tindakannya itu, dia telah dipecat atas arahan gabenor, Mehr memetik timbalan gabenor Ahmad Hajizadeh sebagai berkata.

Mehr menyatakan video mengenai wanita tidak bertudung itu menimbulkan banyak reaksi dalam media sosial.

Di Iran kebanyakan bank dikawal oleh negara dan Hajizadeh menyatakan ia merupakan tanggungjawab pengurus dalam sesebuah institusi sebegini bagi melaksanakan undang-undang.

Puluhan mangsa kebanyakan penunjuk perasaan namun juga anggota dalam pasukan keselamatan, terkorban semasa tunjuk perasaan yang menurut Iran telah digalakkan musuh Baratnya.

Tudung mandatori empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan monarki yang disokong Amerika Syarikat (AS) menubuhkan Republik Islam Iran.

Kemudian dengan mengubah norma-norma pakaian, ia menjadi perkara biasa untuk melihat wanita yang memakai seluar jean dan tudung kepala yang longgar dan berwarna-warni.

Namun pada Julai lalu Presiden Ebrahim Raisi yang ultra konservatif menyeru kerahan ke atas semua institusi negara untuk menguatkuasakan undang-undang pemakaian tudung.

Bagaimanapun, ramai wanita terus melanggar peraturan tersebut. - AFP

Advertisement