Anda di sini

Pelaksanaan projek ART seperti yang dirancang Sarawak Metro

Advertisement
 

KUCHING: Pelaksanaan projek Transit Aliran Automasi (ART) di bandar raya ini kini sedang berjalan seperti yang dirancang oleh Sarawak Metro.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek ini dilaksanakan melalui tender terbuka, yang mencerminkan ketelusan dan amalan tadbir urus yang baik.

"Setakat suku kedua 2022, beberapa tender telah dianugerah dan diberikan oleh Sarawak Metro.

"Tender Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah diberikan kepada EMS Progress Sdn Bhd pada nilai RM3,088,332.00.

"Pakej Sistem 1 telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama, EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd, yang terdiri daripada EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd, pada nilai RM1,425,000,000.00, termasuk pembekalan kenderaan ART berkuasa hidrogen oleh CRRC Zhuzhou Institute Company Limited dan CIMC-Hexagon Hydrogen Energy Systems Limited," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pengangkutan Sarawak pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Menurut beliau fasa pertama projek meliputi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembuatan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta penyerahan Kenderaan Hidrogen (H2V), Peralatan Depot dan Kenderaan Penyelenggaraan (DEMV), Pintu Platform Automatik (APG) dan Sistem Isyarat dan Kawalan (S&CS).

Manakala bagi Pakej Sistem 2 telah dianugerahkan kepada DOM Industries (M) Sdn Bhd dan China Railway Electric Engineering Group Malaysia Sdn Bhd pada nilai RM448,000,000.00.

Sistem ini termasuk Telekomunikasi (Comms); Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA); Kutipan Tambang Automatik (AFC); Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS); Pusat Kawalan Operasi (OCC); dan Sistem Teknologi Maklumat (ITS), ujarnya.

"Tender pembinaan laluan Rembus di bawah Peringkat 1 baru sahaja diberikan kepada Hock Seng Lee Berhad. Projek ini akan dilancarkan tidak lama lagi untuk menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan fizikal projek ART," katanya.

Lee berkata, untuk operasi ART, Laluan Biru yang meliputi Rembus ke Riveria dijangka akan memulakan perkhidmatan pada suku keempat 2025 dan dijangka dilanjutkan ke Hikmah Exchange pada suku keempat 2026.

"Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending dijangka bermula pada suku keempat 2026 manakala Laluan Hijau yang meliputi dari Pending ke Damai Central dijangka bermula pada suku keempat 2027.

"Latihan Proof-of-Concept (POC) kenderaan ART juga dijadualkan pada suku pertama 2023," katanya.

Sementara itu mengenai operasi bas hidrogen, Lee berkata sejak operasi percubaan pada Januari 2020, bas itu merekodkan jumlah penumpang sebanyak 25,564 penumpang dalam tempoh September 2020 hingga Oktober 2022.

Katanya pada masa ini pendaftaran vendor untuk bas pengantara H2 sedang dijalankan.

"Manakala kontrak tender yang melibatkan skop dan keperluan untuk Reka Bentuk Infrastruktur Depoh Bas Pengumpan H2, penghantaran Bas Pengumpan H2 dan Sistem Bersepadu serta keperluan untuk bekalan bahan api H2 sedang dimuktamadkan," tegasnya.

Advertisement