Anda di sini

Lelaki warga India rentung bakar diri

Advertisement

Cubaan New Delhi untuk laksana perintah Hindi sebagai bahasa rasmi dapat tentangan hebat

Gambar yang dirakam pada Sabtu menunjukkan ahli keluarga dan anggota parti DMK memberi penghormatan terakhir kepada Thangavel semasa majlis pengebumiannya di kampung Thalzhaiyur, Mettur, Tamil Nadu. - Gambar AFP
Gambar yang dirakam pada Sabtu menunjukkan ahli keluarga dan anggota parti DMK memberi penghormatan terakhir kepada Thangavel semasa majlis pengebumiannya di kampung Thalzhaiyur, Mettur, Tamil Nadu. - Gambar AFP


NEW DELHI: Serang lelaki warga emas membakar dirinya hingga rentung dalam bantahan di selatan India susulan cubaan New Delhi untuk melaksanakan penggunaan bahasa Hindi di seluruh negara, satu bahasa yang kebanyakannya digunakan di wilayah utara, menurut pihak polis kelmarin.

Bahasa merupakan satu isu sensitif di India di mana beratus-ratus bahasa dan dialek digunakan, namun bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi utama manakala kerajaan negeri menggunakan bahasa wilayah.

Menurut kepada banci paling terbaharu pada 2011, tidak sampai separuh rakyat India berbahasa Hindi iaitu di bawah 44 peratus.

Namun pada bulan lepas sekumpulan ahli parlimen diketuai menteri dalam negeri yang berkuasa Amit Shah dilaporkan mencadangkan menjadikan Hindi sebagai bahasa rasmi termasuk bagi pendidikan teknikal seperti perubatan dan kejuruteraan.

Nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi telah menyebut tentang mentaliti hamba membabitkan penggunaan bahasa Inggeris dan mencadangkan penggunaan bahasa India.

Namun pembangkang menuduh kerajaannya cuba untuk melaksanakan Hindi, menyebabkan kemarahan tertentu di wilayah selatan.

Kebanyakan bahasa yang digunakan di wilayah selatan India adalah bahasa Dravidi, satu keluarga bahasa yang sangat berbeza bagi kumpulan Indo-Eropah yang termasuk Hindi.

MV Thangavel, 85, peladang  di daerah selatan Tamil Nadu, menyimbah tubuhnya dengan petrol dan minyak tanah lalu membakar dirinya sendiri, kata polis.

Dia membawa sepanduk bahasa Tamil bertulis: “Kerajaan Modi mesti berhenti melaksanakan bahasa Hindi. Kenapa kami perlu untuk memilih Hindi berbanding bahasa budaya kita Tamil, ia akan menjejaskan masa depan belia kita.”

Pegawai polis Senthil memberitahu AFP bahawa Thangavel telah membunuh diri.

"Dia menulis sepanduk menentang kerajaan pusat,” tambah beliau.

Thangavel melakukan bantahannya pada Sabtu  di luar sebuah pejabat di Salem bagi parti pemerintah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) di Tamil Nadu, di mana dia antara anggotanya.

Ketua parti MK Stalin yang telah mengkritik polisi bahasa kerajaan Modi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Thangavel namun menggesa orang lain agar mengelakkan protes ekstrem sebegitu.

"Kami tidak seharusnya kehilangan satu lagi nyawa,” laporan memetik beliau sebagai berkata dan mengecam sikap diktator kerajaan pusat.

“Mari kita terus berjuang menentang penggunaan bahasa Hindi secara politik, demokratik.

“Jangan biarkan fikiran sempit menjejaskan sebuah negara yang indah dengan kepelbagaian,” kata beliau.

Topik itu merupakan isu politik lama di mana parti pemerintah Kongres ketika itu cuba untuk menjadikan bahasa Hindi sebagai bahasa rasmi pada 1960-an, mencetuskan kemarahan di wilayah selatan India. – AFP

Advertisement