
KOTA KINABALU: Pembinaan takungan air yang berkapasiti besar perlu dilaksanakan di daerah Beaufort bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Datuk Ruslan Muharam (PBS-Lumadan) berkata, menerusi bajet yang diberikan kepada Kementerian Kerja Raya diharapkan pembinaan takungan air itu dapat dilaksanakan.
Katanya, loji yang sedia ada hanya mampu menampung kapasiti air dalam jangka masa pendek iaitu dua jam sahaja.
“Tujuan pembinaan itu adalah untuk mengatasi masalah semasa air Sungai Padas keruh dan tidak dapat diproses oleh loji yang mengakibatkan terhentinya penyaluran bekalan air bersih kepada rakyat.
“Situasinya di sini apabila berlaku banjir, loji tidak dapat memproses air bersih kerana terlalu keruh dan semasa musim kemarau sungai terlalu cetek,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2023, di sini hari ini.
Ruslan turut mencadangkan supaya jalan raya di sepanjang jalan utama di sekitar DUN Lumadan dapat ditinggikan bagi mengelak ancaman bajir.
“Isu terputus perhubungan ketika berlakunya banjir juga selalu berlaku di daerah Beaufort kerana sistem perparitan yang tidak sistematik,” katanya.
Beliau juga memohon supaya peruntukan di bawah perbelanjaan yang tidak termasuk dalam kementerian berjumlah RM38.79 juta dapat disalurkan bagi menaik taraf jalan Kampung Mentulud sejauh 2.5 Kilometer.
“Penduduk turut mempersoalkan keadaan jalan raya di kampung tersebut yang tidak dinaik taraf walaupun sudah wujud lebih 40 tahun.
“Kampung tersebut dan sekitarnya juga berpotensi dijadikan pusat pelancongan, pertanian dan perikanan sekiranya kemudahan jalan rayanya dapat dinaik taraf,” katanya.