
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar disarankan untuk mengkaji semula keperluan mewarta kawasan Teluk Darvel Lahad Datu dibawah Ordinan Taman Negara.
Datuk Mohamaddin Ketapi (Parti Bangsa Malaysia-Segama) berkata, beliau khuatir perkara berkenaan akan menjejaskan pendapatan orang kampung terutama para nelayan.
"Saya mencadangkan agar pihak kementerian dan agensi berkaitan mengadakan sesi libat urus di Lahad Datu bersama penduduk kampung dan pemegang taruh terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Disamping itu, rakyat Segama juga merayu kepada pihak kerajaan sekiranya boleh membubarkan warta kawasan tadahan air dibawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama iaitu di Kampung Burung serta sekitarnya.
"Ia wajar dipertimbangkan agar kawasan tersebut dapat dipohon untuk dijadikan perkampungan yang sah," katanya membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di sini, hari ini.
Selain itu katanya, beliau juga memohon agar projek Rumah Sabah Maju Jaya dapat dibina di kawasan DUN Segama serta seluruh DUN dalam Parlimen Lahad Datu.
Katanya, projek bekalan air alternatif juga adalah suatu keperluan mendesak di Kampung Ulu Segama.
"Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat mengambil perhatian dan melaksanakan projek ini di Segama dengan kadar segera," katanya.