Anda di sini

Infrastruktur di Bugaya perlu diberi keutamaan kerajaan negeri

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Masalah infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Semporna perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Jamil Hamzah (WARISAN-Bugaya) berkata kemudahan infrastruktur di DUN Bugaya sangat ketinggalan dan perlunya kerajaan negeri mengambil perhatian untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, liputan talian telefon dan internet di kawasan tersebut sangat lemah, malah kebanyakkan tempat menghadapi masalah yang sama.

Ia menyukarkan penduduk terutamanya pelajar sekolah dan pendidik yang kebanyakkan bahan rujukan diperolehi daripada internet.

“Sekiranya berlakunya kecemasan seperti kebakaran dan kemalangan juga, sukar untuk penduduk menghubungi pihak berwajib,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2023, di sini semalam.

Selain itu, katanya, masalah penempatan di Kampung Bangau-Bangau sehingga ke hari ini tiada jalan penyelesaian, seolah-olah diabaikan tanpa sebarang tindakan.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM8 juta sudah disalurkan ketika kerajaan WARISAN bagi pelaksanaan segera projek membabitkan kerosakan harta benda dan infrastruktur di kampung ini.

“Bagaimanapun, setelah hampir tiga tahun berlalu, hanya pengumuman sahaja yang dibuat oleh kerajaan negeri ketika ini, tanpa sebarang tindakan.

“Justeru, saya mohon perincian bilakah projek ini akan dimulakan dan dijangka siap. Adakah kerajaan bercadang menyediakan penempatan sementara yang lebih kondusif kepada mereka sepanjang projek ini berjalan,” katanya.

Sementara itu, Jamil berkata, DUN Bugaya adalah kawasan yang terbesar di Parlimen Semporna namun, sektor pertanian tidak dioptimumkan sebaiknya.

“Setakat ini, hanya empat daripada 17 syarikat tanaman yang terlibat dalam sektor pertanian letaknya di Bugaya.

“Adakah kerajaan bercadang untuk membuka kawasan pertanian baharu di Bugaya dan apakah tanaman yang dirasakan sesuai diusahakan di sini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement