Anda di sini

Bincang dengan kerajaan pusat mengenai jambatan Pulau Bum-Bum

Advertisement
JAUJAN
JAUJAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dipohon untuk berbincang dengan kerajaan pusat berkaitan pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum. 

Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) berkata, projek berkenaan sudah diluluskan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

"Kerja-kerja awal juga sudah dilaksanakan melibatkan belanja RM25 juta. Skop reka bentuk juga sudah dilaksanakan.

"Kerajaan negeri wajar merujuk perkara ini kepada kerajaan pusat sekiranya kerajaan negeri tidak mempunyai bajet mencukupi untuk membina jambatan terbabit," katanya membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan itu menjadi keperluan utama rakyat Sulabayan khususnya mereka yang tinggal di Pulau Bum-Bum.

Jaujan yang juga Naib Presiden WARISAN berkata, kerajaan negeri juga dipohon untuk segerakan pembinaan rumah-rumah baharu kepada penduduk Kampung Bangau-Bangau Semporna yang menjadi mangsa kebakaran pada 2017.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan sejumlah RM8 juta untuk tujuan berkenaan tetapi pelaksanaannya masih belum dimulakan sehingga hari ini.

"Ini merupakan rungutan utama penduduk Semporna khususnya perkampungan yang terlibat," katanya.

Sementara itu, beliau berharap Belanjawan Negeri 2023 dapat digunakan sepenuhnya kepada khalayak sasaran yang benar-benar memerlukan.

Jaujan juga menjelaskan Kementerian Kerja Raya yang diperuntukan RM1.16 bilion dalam Belanjawan kali ini perlu ditambah.

Katanya, peruntukan membaiki atau membina jalan raya tidak boleh hanya bergantung kepada dana dari kerajaan pusat.

"Kerajaan negeri perlu mempunyai langkah tersendiri untuk menaik taraf kemudahan ini. Isu jalan raya merupakan isu besar di negeri ini kerana ia melibatkan keselamatan.

"Oleh itu, saya berpendapat dalam Belanjawan yang melebihi RM5 bilion kali ini, peruntukan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu dipertingkatkan," katanya.

Menurutnya, peruntukan itu bukan sahaja untuk menyiapkan lebih raya seperti Pan Borneo tetapi juga jalan raya dari daerah ke daerah perlu diperkasakan.

Katanya, jalan raya itu menjadi keperluan harian masyarakat, sekiranya perkara ini tidak dipertingkatkan, rakyat akan mempunyai persepsi terhadap kerajaan hari ini tidak melakukan usaha bagi mengatasi masalah tersebut.
 

  • oleh
  • Advertisement