Anda di sini

Syarikat penerbangan butik Sarawak tidak berasaskan keuntungan: Abg Jo

Advertisement
Abang Johari ketika berucap pada pada majlis Makan Malam Amal DUBS Kuching. - Gambar Penerangan
Abang Johari ketika berucap pada pada majlis Makan Malam Amal DUBS Kuching. - Gambar Penerangan

KUCHING: Syarikat penerbangan butik milik kerajaan Sarawak bermatlamat untuk memudahkan ketibaan pelancong dan bukannya bermotifkan keuntungan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat penerbangan itu akan beroperasi di bawah modelnya sendiri.

Ia katanya, tidak akan mengikuti model syarikat penerbangan lain seperti Malaysia Airlines atau pun AirAsia.

"Syarikat penerbangan lain berasaskan keuntungan. Namun, kita (syarikat penerbangan butik Sarawak) tidak. 

“Kita hanya mahu memudahkan pelancong terbang (datang) ke Sarawak. Model kita lain, asalkan kita balik modal, itu sahaja,” katanya pada majlis Makan Malam Amal Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Kuching di sini, malam Ahad.

Abang Johari berkata, syarikat penerbangan itu akan menyediakan perkhidmatan penerbangan untuk pelancong yang dalam tempoh enam jam untuk sampai ke Sarawak.

Negara-negara itu katanya, adalah seperti Hong Kong, Bali, Singapura, Bangkok, Jepun, dan juga India.

Beliau berkata, ada segelintir pihak mempersoalkan usaha kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik miliknya sendiri.

“Namun bagi saya, ia adalah salah satu infrastruktur yang harus kita sediakan. Ia sama seperti membina jalan raya.

“Untuk jalan raya, anda tidak bercakap tentang pulangan tetapi anda memikirkan faedah berpanjangan yang anda peroleh kerana mempunyai laluan jalan. Jadi, perkara sama juga berlaku untuk syarikat penerbangan,” katanya.

Pada 13 November lalu, Abang Johari berkata, Sarawak sedang menunggu kelulusan lesen daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membolehkan syarikat penerbangan butik miliknya memulakan operasi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Penerbangan berskala kecil itu katanya akan dikendalikan oleh syarikat Hornbill Skyways sebagai salah satu hab penerbangan baharu yang akan dapat melonjakkan kemasukan pelancong ke negeri Bumi Kenyalang.

Advertisement