Anda di sini

Seoul lancar eksperimen bas pandu sendiri

Advertisement

42 Dot yang dimiliki Hyundai hasil kenderaan awam berkos rendah tanpa pemandu

: Gambar yang dirakam di Seoul pada 23 November lalu menunjukkan bas dengan logo biru di hadapan yang menandakan pemanduan autonomi menghampiri hentian di laluan bas pandu sendiri. - Gambar AFP
Gambar yang dirakam di Seoul pada 23 November lalu menunjukkan bas dengan logo biru di hadapan yang menandakan pemanduan autonomi menghampiri hentian di laluan bas pandu sendiri. - Gambar AFP

SEOUL: Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertamanya kelmarin, sebahagian daripada eksperimen yang bertujuan untuk membuat orang ramai berasa lebih selesa dengan kenderaan tanpa pemandu di jalan raya, menurut para jurutera.

Kenderaan baru itu tidak kelihatan seperti bas biasa sebaliknya mempunyai bucu yang bulat serta tingkap besar, menjadikannya kelihatan seperti barang permainan hasil daripada kejayaan teknologi.

Reka bentuk tersebut disengajakan, kata Jeong Seong-gyun, ketua pemanduan autonomi di 42 Dot, syarikat pemula teknologi pemanduan sendiri yang kini dimiliki oleh gergasi kereta Korea Selatan Hyundai.

"Ini ialah masa depan," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa bas itu memerlukan reka bentuk baharu.

"Bas tersebut mirip Lego dan diperbuat daripada bahagian komposit untuk membantu mengurangkan kos dan memudahkan pengeluarannya.

"Ia menggunakan kamera dan radar untuk navigasi jalan dan bukannya alat penderia mahal, tambah Seong-gyun.

Matlamat syarikat adalah untuk menjadikan teknologi tersebut berkos rendah, selamat dan mudah dipindah milik kepada pelbagai jenis kenderaan pada masa akan datang, sebagai contoh, trak penghantaran.

Buat masa ini, dengan adanya pemantauan pemandu keselamatan bas itu akan memandu sendiri di sekitar litar kecil sepanjang 3.4 kilometer di pusat bandar Seoul dan mengambil masa kira-kira 20 minit.

Orang ramai boleh menaikinya di dua hentian yang ditetapkan selepas menempah tempat duduk percuma melalui aplikasi.

"Saya berasa seperti baharu sahaja menaiki mesin masa untuk melawat masa depan," kata Kim Yi hae-ran, 68, selepas 20 minit perjalanannya semasa pelancaran bas itu kelmarin.

"Saya fikir ia mungkin akan membuat saya pening akibat pecutannya tetapi saya tidak berasa demikian."

"Perjalanan terasa sangat lancar dan selamat," katanya yang mengakui beliau berasa bangga dengan kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh syarikat Korea Selatan itu. – AFP

Advertisement