Anda di sini

Puluhan hilang selepas tanah runtuh di pulau Itali

Advertisement
Keadaan di sebatang jalan yang berlumpur susulan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di Casamicciola, pulau Ischia kelmarin. - Gambar AFP
Keadaan di sebatang jalan yang berlumpur susulan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di Casamicciola, pulau Ischia kelmarin. - Gambar AFP

ROM: Seorang wanita maut manakala berpuluh-puluh masih hilang selepas hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di pulau Ischia, Itali kelmarin, kata pihak berkuasa dan pasukan kecemasan.

Banjir lumpur dan runtuhan memenuhi bandar kecil Casamicciola Terme pada awal pagi kelmarin, menimbus sekurang-kurangnya sebuah rumah dan menghanyutkan kereta ke laut, menurut laporan media dan pasukan kecemasan.

Mayat seorang wanita telah ditemui oleh penyelamat sementara berpuluh-puluh orang masih belum ditemui, menurut pengawas dari Naples Claudio Palomba.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa mangsa termasuk sekeluarga dengan bayi yang baru dilahirkan yang sebelum ini dilaporkan hilang telah ditemui selamat.

“Kami khuatir ada mangsa lain, namun setakat ini angka kematian semasa ialah satu kematian,” kata jurucakap bomba Luca Cari.

Usaha menyelamat terhalang oleh hujan yang berterusan dan angin kencang, yang turut mengganggu perjalanan feri yang membawa bekalan bantuan.

Menteri Dalam Negeri Mattei Piantedosi sebelum ini memberi amaran bahawa terdapat mangsa yang terperangkap dalam lumpur dan menyifatkan keadaan yang sangat serius.

Namun demikian, beliau menafikan kenyataan rakannya Matteo Salvini, timbalan perdana menteri dan menteri infrastruktur, bahawa terdapat lapan kematian memandangkan ia belum dapat disahkan. 

Hujan lebat telah menyebabkan lumpur melimpahi jalan raya, pokok tumbang menghempap kereta, kenderaan terkandas di bahu jalan dan separuh tenggelam, menurut imej yang disiarkan oleh pasukan kecemasan dan media tempatan.

Terdahulu, pihak bomba memaklumkan bahawa sebuah rumah ditimbus lumpur manakala dua mangsa berjaya diselamatkan daripada sebuah kereta yang dihanyutkan arus deras ke laut.

Ia berkata, bantuan dihantar dari Naples, bandar utama terdekat, tetapi keadaan cuaca menyukarkan kemasukan ke pulau itu.

"Pencarian orang hilang, pemindahan dan bantuan untuk orang dalam bahaya berterusan," tambah jabatan perlindungan awam dalam kemas kini di Twitter.

"Usaha menyelamat masih sukar kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan."

Pihak berkuasa tempatan telah menggesa penduduk Ischia untuk kekal di dalam rumah agar tidak menghalang operasi menyelamat.

Di kawasan paling teruk terjejas di Casamicciola Terme, sekurang-kurangnya 30 keluarga terperangkap di dalam rumah tanpa air atau elektrik, dengan lumpur dan runtuhan menghalang jalan, lapor agensi berita ANSA.

Perdana Menteri Giorgia Meloni berkata, beliau mengikuti situasi itu dan mendoakan mereka yang terjejas.

Casamicciola Terme dilanda gempa bumi pada 2017, di mana dua maut. – AFP 

Advertisement