Anda di sini

Kenangan Berbisik

Advertisement
 


Oleh Radzemah Bolhassan

 

ANAK mata Adam berlari nakal menuruti kanak-kanak yang lalu-lalang di hadapannya. Otaknya ligat mentafsir mengikut pengalaman dan pengetahuan. Pahit manis. Suka duka. Baik buruk. Semuanya bercambah tanpa mampu diulas dengan kata-kata.
     Lamunannya semakin jauh. Tanpa batas waktu, kenangan lampau berbisik seolah-olah cuba mengajar dia tentang kehidupan. Mengajar dia untuk mencari-cari arah tuju. Kecelaruan timbul tiba-tiba pada fasa lewat kehidupannya. 
     Wajah emak hadir. Wajah itu membawanya ke pintu kenangan dalam pelbagai episod kehidupan diri. Setiap pesanan emak pernah terpahat di sudut hati. Namun entah sejak bila, ia mula goyah. Malah berterbangan seperti kabu-kabu di langit biru. Tidak mampu lagi dicapai walau hanya secebis. Terus melayang-layang untuk mencari dahan berpaut mengikut acuan rasa. Semenjak itu, bermulalah perjalanan hidup bebas, lepas. Kehidupan yang enggan diikat oleh adat budaya mahupun agama. Keinginannya cuma mencari semua isi dunia dengan gigih dan akhirnya berjaya. Sombong mula menapak. Menghilangkan semua pesanan demi pesanan seorang emak kerana merasakan kejayaan ini adalah usaha diri sendiri semata-mata. Kudrat diri telah dibanting. Fikirnya, pemalas akan tinggal, sedangkan orang berjaya pasti berusaha tanpa jemu.
     “Adam berjaya kerana Adam nak!” akunya dengan angkuh.
     Emak geleng. 
     Adam tidak berpuas hati. Emak seolah-olah tidak mengiktiraf kejayaan Adam. Adam pula sudah malas hendak berbicara. Lebih baik dia melupakan semua ini. Jika tidak, dia akan berada dalam kelompok manusia yang ketinggalan. Falsafah emak sudah tidak boleh dipakai pada zaman moden ini. 
     Semenjak itu Adam tidak lagi kerap balik ke rumah emak. Adam mahu bebas. Tidak mahu dikongkong. Batasan yang emak telah gariskan sejak zaman dirinya membaca muqaddam sudah tidak lagi relevan. Adam membeli rumah sendiri. Rumah agam milik keluarganya kekosongan satu bilik yang dikhaskan untuk Adam. Namun Adam tidak lagi menoleh ke belakang. Tambahan pula semenjak dia membuat keputusan itu, rezeki, kepuasan dan segala keinginannya lebih subur dari kulat yang bercambah.
     Jauh sungguh Adam melangkah, menongkah waktu yang berlari pantas. Yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti. Adam langsung tidak hairan kepada yang patah, apa lagi yang hilang. Apa yang penting baginya, berusaha untuk tetap berada di kedudukan puncak. 
     Air mata sudah tidak lagi menuruni lembah jiwanya. Kekesalan jarang terbit dari nubarinya. Hiburan adalah penawar bagi setiap kelukaan. Adam menikmati benar laba dunia yang tiada bandingan, dan akhirat jauh dipinggirkan.
     “Adam, kita berjaya bukan kerana usaha kita semata-mata,” pesan emak.
     Adam angguk.
     “Manusia perlu menjalani hidup ini dengan menerima fitrah kita sebagai hamba.”
     Adam angguk lagi.
     Pesanan itu ibarat sudah menjadi debu. Hendak digilap pun tidak bererti lagi. Malah Adam terpaksa menanti puluhan tahun untuk mengingatinya kembali.
     “Jika kau dapat kuasa, kau jangan buat seperti engkau punya segala. Kau wajib jalankan tanggungjawab. Nanti Allah akan tanya semua itu.”
     Adam diam.
     Emak renung wajah Adam. Kemudian emak tegaskan lagi, “Faham, tak?”
     “Faham.” Jawab Adam.
     “Apa yang Adam faham?” soal emak.
     “Kita semua ni hamba. Mesti bertindak tidak melebihi ketentuan yang ditetapkan oleh agama. Semua kejayaan Allah yang bagi.” Jelas Adam. Nada Adam keras tanda protes. 
     Emaknya, seorang ibu tunggal, seorang guru pencen, seorang yang penuh dengan aturan dan batasan tidak boleh disanggah ketika Adam meniti usia remaja.
     “Begitu juga ujian. Allah yang hadirkannya tanda kasih Allah kepada hamba-Nya yang mula berasa sombong dengan kejayaan yang Dia beri.”
     Adam angguk.
     Emak senyum. Emak tidak pernah jemu mengatur ayat untuk memberi nasihat dan pesanan kepada anak-anaknya. Terutama Adam, anak sulung yang akan melangkah belajar ke luar negara. Seorang pelajar bijak dan diakui sangat berpotensi untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.
     Telahan itu benar. Berkat doa emak. Adam berjaya seperti tafsiran pelbagai pihak sehingga semua puncak ditaklukinya. Adam seorang ilmuan yang disegani. Bahasanya indah. Bicaranya tersusun. Adabnya sopan. Solat tidak juga tinggal. Sayangnya Adam gagal mengawal bisikan dalaman yang merosakkan iman.  
     Tidak ada sesiapa yang dapat mencium kekosongan jiwanya. Adam sendiri tidak pernah tahu itu. Sungguh halus bicara iblis sehingga Adam sendiri tertipu. Bukan sehari dua dia diperdaya. Berkurun lamanya. Sejak bujang, kemudian Adam berumah tangga, beranak-pinak dan akhirnya bercucu. Entah apa yang berlaku. Masjid dia datangi. Sesekali ada usrah di tempat kerja, dia jengah. Jemputan kenduri-kendara kawan-kawan pun Adam penuhi. Apakan daya, rasa lompang sentiasa hadir cuma Adam gagal untuk mentafsir gejolak itu dengan ilmu yang dia miliki. 
     “Tak balik lagi ke tahun ni, Wa?” soal Anjang Deris.
     “Kerja tak selesai lagi ni,” jawab Adam.
     Jawapan rutin yang telah memisahkan dirinya selama puluhan tahun daripada jiwa-jiwa yang perlukan dirinya. Jiwa-jiwa yang dia sendiri turut perlukan.
     “Emak suruh tanya. Harap jangan cakap kerja tak selesai lagi. Itu jawapan tahun lepas,” usik Anjang Deris pada tahun berikutnya.
     Adam membisu. Dia tidak suka ditempelak. Hati yang semakin jauh membuatnya melepaskan semua ikatan yang boleh merosakkan perasaannya. Adam bangga dengan kekentalan jiwanya. Tidak pernah emosional untuk setiap perkara yang boleh mengganggu-gugat urusan penting dalam kalender hidupnya.
     Adam senyum. Lama-kelamaan senyumannya menguntum mesra. Kelibat Rayyan memadamkan lamunannya. Kanak-kanak yang bermain di sekitarnya membuatkan dia ingin kembali ke zaman lampau. Zaman ada emak dan dia mahu jadi Adam yang dahulu. 
     Pandangan Adam dan Rayyan mereka bersapaan. Rayyan tersenyum nipis. Tidak lama. Seakan-akan tidak suka dengan keberadaan Adam di situ.
     “Kenapa atuk tak balik lagi? Tak usahlah tunggu Rayyan. Lagipun papa dah pesan, jangan kacau Rayyan di sekolah.” 
     Rayyan berlari meninggalkan Adam yang setia duduk di bangku tepi pagar sekolah. Senyuman Adam hilang. Perselisihan faham minggu lepas rupa-rupanya telah menyingkirkannya daripada kehidupan cucu kesayangannya itu. Puas Adam memujuk diri sendiri. Mencari jalan keluar untuk memperbetulkan keadaan tetapi semuanya dihalang oleh bisikan kenangan antara dia dengan masa silamnya. Adam gagal. Adam malu sendiri.
     Masalahnya remeh. Berlaku antara ayah dan anak. Kalau hendak diulas pun tidak akan sampai lima minit. Tetapi kenapa impaknya sangat besar? Lebih dahsyat daripada letusan gunung berapi. Lebih menakutkan daripada peristiwa tsunami. Malah lebih pantas merebak daripada jangkitan virus korona.
     “Kenapa kau tak bagi Rayyan ikut ayah?” soal Adam.
     “Tuisyen Rayyan lebih penting,” jawab Zahar.
     “Ayah cuma ajak solat isyak di masjid je.” 
     Mata Zahar menjeling tajam. Adam perasan. 
     “Dia anak Har. Di rumah Har sendiri. Itu hak Har, kan? Ayah juga selalu cakap pada Har yang kita ada acuan sendiri untuk berjaya,” ujar Zahar, setelah beberapa saat diam.
     Adam tergamam. Tidak sangka anaknya lebih biadab daripada dia. Mulalah dia teringat kembali bagaimana lancang mulutnya mengulas pesanan dan nasihat emak dahulu. Malangnya Adam sekadar ingat, rasa kesal tidak kunjung kerana perasaan ego sangat tebal di sudut hatinya. 
     Semalam, ketika Adam duduk bertafakur di masjid, seorang anak muda sedang menasihati para sahabatnya dengan bahasa indah. Kata-kata pemuda itu menusuk kalbunya, menerbitkan perasaan kesal yang bercampur baur dengan kenangan masa lalu. 
     “Sahabat, hati-hatilah kepada sesiapa yang merasakan dirinya beriman dan melihat orang lain penuh dosa. Jangan menyangka diri kita sudah sempurna. Syurga itu jauh bagi orang yang beriman dan amat dekat kepada para pendosa.”
     Suasana menjadi sepi. Rakan-rakannya tertunduk. Menginsafi diri lagaknya. Dan jiwa Adam dipenuhi gelora yang datang entah dari sudut mana. Lama dia menyendiri di masjid itu. Tenggelam dalam lautan kekesalan dan lemas dalam hempasan ombak kenangan.
     Adam tidak putus-putus cuba mencari rakaman lama yang ditinggalkan. Rakaman suara seorang wanita yang digelar emak. Yang tidak pernah jemu memimpin jiwanya walaupun Adam tangkiskan dengan kata-kata dan perbuatan.
     “Manusia sering tertipu dengan kejayaan dan kebaikan yang dia capai. Tertipu dengan puji-pujian manusia. Kononnya mengejar sasaran kerja tetapi melepaskan yang dinamakan tanggungjawab. Tidak akan hadir ikhlas dengan cara itu,” ujar emak.
     Adam menahan amarah. Emaknya dianggap tidak habis-habis mempersoalkan semua kejayaan dan kebaikan yang dia usahakan. Kejayaan dan kebaikan yang bagaimana lagi yang emak maksudkan?
     “Adam kan dah berjaya, mak?” sampuk Adam.
     “Ya.” Jawab emak.
     “Adam bukan jahat, kan?” 
     “Betul.” 
     “Habis tu, apa lagi yang salah?” bentak Adam. Dia tidak menunggu penjelasan emak, sebaliknya terus bangkit dan keluar dari rumah. 
     Selepas peristiwa itu Adam tidak lagi sudi duduk berlama dengan emak. Bagi Adam berbicara dengan emak boleh menumpulkan semua kejayaan dan kebaikan yang dia usahakan. Suara emak semakin hilang. Bisikan emak pun tidak lagi hadir malah kenangan tentang emak juga Adam lepaskan. Sehinggakan suatu hari, emak mendesak Adam pulang. Adam hadir dengan terpaksa. Malu juga didesak terus oleh anjang, ngah dan usu.
     “Adam, orang yang tidak menghadirkan Allah dalam semua urusan akan terbatal amalnya. Jangan terlalu jauh dari Allah kerana sikap ini tidak akan menumbuhkan sifat ikhlas, amanah dan jujur. Jiwa kau akan kosong ketika usia semakin mendekati mati kelak.” Jelas emak.
     Adam membisu. Jiwanya tidak lagi subur dengan iman. Maka matilah ia bertahun-tahun. Pagi ini baharulah Adam rasakan jiwanya kembali hidup. Air mata Adam mula menitis. Hatinya kembali hidup. Itu pun setelah emak pergi buat selama-lamanya. Setelah adik-beradiknya menjauhkan diri. Setelah dia hidup sebatang kara kerana kematian isteri tercinta. Setelah ubannya memutih memenuhi seluruh kepala. Dan setelah anak tunggalnya, Zahar berlaku biadab terhadap dirinya sama seperti dia berlaku biadab terhadap emak.
     Adam tidak mampu melangkah. Kata-kata Zahar telah membunuh kejayaan dan kebaikan yang dia sendiri agungkan. Maka benarlah kata emak, beringat sebelum terlambat.
     Akulah hamba Allah, apabila diberi tanggungjawab, aku bermegah-megah seolah-olah hanya aku yang layak memegang jawatan itu. Riak aku sentiasa menjadi topeng agar aku nampak baik. Apabila diberi kuasa, aku anggap akulah pentadbir dunia. Aku tidak mahu melihat ada manusia yang cuba memberi aku nasihat. Termasuklah emak. Maafkan Adam, mak.
     Lama sungguh kenangan bersama-sama emak tidak Adam hadirkan. Adam menganggap emak sebagai tembok yang menghalangnya untuk berjaya. Sedangkan segala pesanan yang klise pada anggapannya itulah kunci untuk menjadi manusia yang sempurna di sisi Allah.
     Adam cuba untuk terus melangkah. Tiada jejak. Sekolah Rayyan tidak sesuai menjadi tempat untuk dia meluahkan kekesalan. Jikalau dia terus mendesak Rayyan, hubungannya dengan Zahar akan bertambah sukar untuk dipulihkan.
     Sekarang Adam mula percaya kepada kekuatan peringatan yang berakarkan ketuhanan. Bukan sekadar ditanam di tepi bibir tetapi jadikan ia sebagai azimat.
     Sejujurnya Adam sangat mengakui, pangkat yang dia punya kini sudah bertukar tangan. Kekayaan yang dia miliki tidak lagi dapat menghibur hati. Kejayaan yang pernah dia kejar kini gugur seiring dengan usia yang semakin menurun. Malah ramai anak-anak remaja tidak lagi menyebut namanya sebagai idola. 
     Adam sudah tua. Semuanya terpaksa dilepaskan. Bukan kehendak diri. Habis separuh nyawa Adam memperjuangkan agar semuanya kekal menjadi miliknya tetapi kudrat Tuhan lebih pantas daripada tangan manusia. Akhirnya hilanglah semua kepunyaannya tanpa tinggal sedikit sisa pun. Adam kembali akur terhadap hakikat bahawa itulah fitrah setiap hamba. 
     Air mata Adam menitis lagi, menangisi semua kenangan yang dia sendiri ciptakan. Tiada apa-apa lagi yang tinggal, melainkan bisikan kenangan daripada emak untuk dia jadikan sebagai bekalan menuju titik hidup yang dinamakan kematian.

 
 


.

Advertisement