Anda di sini

Indeks nilai seunit import kekal positif, nilai seunit eksport turun 0.05 peratus

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Harga eksport Malaysia bagi Oktober 2022 turun 0.05 peratus kepada 149.7 mata daripada 149.8 mata pada bulan sebelumnya manakala indeks nilai seunit import mencatatkan prestasi positif dengan kenaikan 0.6 peratus kepada 133.2 mata.

Menerusi kenyataan mengenai Indeks Perdagangan Luar Negara Malaysia Oktober 2022 pada Isnin, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjelaskan susulan itu, terma perdagangan Malaysia menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 112.4 mata pada Oktober 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport mengalami penurunan 0.05 peratus pada Oktober 2022 berbanding bulan sebelumnya, susulan penurunan indeks minyak serta lemak binatang dan sayursayuran (-5.3 peratus), minyak galian (-3.4 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.4 peratus).

Beliau berkata di samping itu, indeks volum eksport turut merosot 8.7 peratus pada bulan yang sama, berikutan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-17.8 peratus), minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (-15.9 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-14.9 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim susut 14.5 peratus daripada 179.4 mata kepada 153.4 mata,” katanya.

Sebaliknya, indeks nilai seunit import meningkat 0.6 peratus pada Oktober 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+2.5 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+0.5 peratus) dan makanan (+0.2 peratus).

Mohd Uzir berkata indeks volum import turut merekodkan peningkatan 0.4 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+18.0 peratus), makanan (+ 4.8peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.6 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim mengalami penurunan 3.0 peratus daripada 195.5 mata kepada 189.7 mata, katanya.

DOSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia menunjukkan prestasi negatif pada Oktober 2022, merosot 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 112.4 mata. - BERNAMA

Advertisement