Anda di sini

Belanjawan 2023 inklusif, menepati kehendak rakyat: Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN



KOTA KINABALU: Intipati ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, disifatkan amat inklusif kerana meliputi semua aspek kearah kemakmuran.


Ketua Armada BERSATU Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, selari dengan tema 'Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera', ia dilihat mampu menepati kehendak rakyat selari dengan halatuju 'Sabah Maju Jaya'.


Jelas Shahril, Belanjawan 2023 juga diyakini dapat memberi manfaat kepada rakyat serta golongan sasar yang mengharapkan kemajuan serta pembelaan yang secara tidak langsung memberi indikasi bahawa Sabah sedang menuju kearah pembangunan mapan.


"Peningkatan belanjawan menunjukkan perkembangan yang positif dan sudah tentu lebihan itu dapat memberi manfaat kepada kerajaan dalam melaksanakan agenda-agenda yang dirancang untuk kepentingan rakyat.


"Ini juga bukti jelas bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji terus komited dalam memastikan Sabah terus membangun seperti yang digariskan dalam halatuju SMJ, agar setiap lapisan rakyat dapat menikmatinya, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghubungi Utusan Borneo bagi mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2023 oleh Hajiji pada Jumaat lepas.


Kerajaan Sabah pada Jumaat telah membentangkan Belanjawan 2023 sebanyak RM5.138 bilion, dengan fokus utama memperkasa ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat secara inklusif dan berterusan.

Belanjawan itu menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM5.268 bilion, sekali gus menjadikannya belanjawan lebihan sebanyak RM130.47 juta dan merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah sejak merdeka.

 
Ketika membentangkannya, Hajiji yang juga Menteri Kewangan berharap Belanjawan 2023 itu dapat memberikan manfaat dan kesenangan kepada rakyat sejagat.


Beliau turut berharap ia memberi berkat kepada tampuk kepimpinan untuk terus memajukan negeri ini agar setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.


Mengikut agihan peruntukan belanjawan, Kementerian Kewangan menerima jumlah tertinggi iaitu RM2.16 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya (RM1.16 bilion), Jabatan Ketua Menteri (RM634.41 juta), Kementerian Pertanian dan Perikanan (RM501.54 juta) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM212.63 juta) manakala selebihnya diperuntukan untuk beberapa kementerian lagi.

  • oleh
  • Advertisement