
KENINGAU: Ketua Biro Pendidikan STAR Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk, Robert Tawik merasmikan penutupan Bengkel Pengurusan Jenazah Peringkat Kampung Kota Ayangan Keningau, kelmarin.
Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada penduduk kampung telah menghadiri bengkel sehari itu yang diadakan di Dewan Kampung Kota Ayangan.
Kursus tersebut dianjurkan oleh Biro Agama Masjid Ar-Rasyid Kota Ayangan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kg Kota Ayangan.

Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian STAR Bahagian Bingkor dalam ucapannya menyifatkan bengkel yang diadakan itu amat berfaedah yang dilihat mampu mendedahkan ilmu pengurusan jenazah.
“Pengurusan jenazah adalah Fardu Kifayah dan wajib dipelajari dan diketahui oleh semua umat Islam.
"Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam,bilal atau pegawai syarak tetapi ianya adalah ilmu yang wajib dituntut oleh orang-orang yang beriman," katanya.
Sehubungan itu, Yazid turut merakamkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas usaha mengadakan bengkel tersebut.
Beliau berharap program keagamaan seumpama itu dapat diadakan dari masa ke semasa.
Turut hadir Ketua Kampung Kota Ayangan, KK Musa Numan dan Pengerusi JPKK Kg Kota Ayangan Jamatin Kuman.