Anda di sini

Usahawan Sabah menang Anugerah Keusahawanan Global Shell

Advertisement
 Irene berjaya menjadi pemenang utama anugerah kategori ‘Social Impact’.
MENANG: Irene berjaya menjadi pemenang utama anugerah kategori ‘Social Impact’.

KOTA KINABALU: Usahawan dari Sabah, Irene Mositol berjaya mengharumkan nama negara selepas muncul pemenang utama anugerah ‘2022 Shell LiveWIRE global To Ten Innovators’ 2022 bagi kategori ‘Social Impact’.

Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia, Dato’ Ivan Tan berkata anugerah itu memberi pengiktirafan kepada usawahan yang menunjukkan kecemerlangan dalam invoasi produk mereka.

Katanya, pada tahun ini, sebanyak 195 usahawan daripada 17 buah negara mengambil bahagian dan pertandingan akhir berlangsung di Mexico City.

“Saya sangat terinspirasi apabila melihat usahawan dari negara kita berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat global kerana menjalankan perniagaan inovatif.

“Usahawan berkenaan mampu mengembangkan dan memperkasakan perniagaannya yang bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi memberi manfaat kepada komuniti di kawasan tempat tinggalnya,” katanya.

Irene adalah pengasas DumoWongi yang membantu wanita menjana pendapatan sendiri dengan memberikan mereka ilmu berkaitan pertanian mampan, sekali gus menyokong mengagregatkan produk jualan yang lebih besar.

Beliau menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak USD20,000 serta bimbingan perniagaan global bagi meningkatkan dan membangunkan perniagaanya selama setahun.

 Antara produk yang dihasilkan oleh Irene melalui syarikat DumoWongi.
PRODUK: Antara produk yang dihasilkan oleh Irene melalui syarikat DumoWongi.

Irene berkata, dia tidak menyangka boleh menjadi pemenang utama bagi kategori ‘Social Impact’ dan sangat berbesar hati serta bangga menerima anugerah tersebut kerana ini adalah bukti pencapaian DumoWongi.

“Sangat gembira kerana orang ramai percaya dengan visi saya untuk meningkatkan taraf hidup komuniti di kawasan saya melalui perniagaan DumoWongi.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pasukan atas dedikasi dan kerja keras mereka sehingga membolehkan kami menerima pengiktirafan berprestij global ini,” katanya.      

DumoWongi bermaksud ladang wangi yang menyenangkan dan ditubuhkan pada tahun 2019 lalu. Ia adalah perusahaan sosial berpangkalan di Kota Kinabalu.

DumoWongi menawarkan pelbagai produk herba seperti herba segar, garam herba, herba kering, serbuk superfood, succulents dan bunga yang boleh dimakan. Ia hanya menyediakan produk herba segar, organik dan bebas racun perosak serta semua tanaman dituai segar dari ladang.

Syarikat itu juga menyediakan saluran untuk golongan wanita di Sabah menjana pendapatan tambahan dengan memperkasakan mereka dengan menanam dan membeli herba daripada mereka. DumoWongi kini mempunyai lebih 30 peserta wanita.

 Antara wanita yang terlibat bersama DumoWongi.
PASUKAN: Antara wanita yang terlibat bersama DumoWongi.

Selain Irene, usahawan daripada Sarawak Heineken Anak Laluan yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat TIMOGAH turut meraih anugerah naib juara bagi kategori Inovasi Perniagaan.

Syarikat itu menjalankan platform e-dagang yang membolehkan petani berskala kecil dan luar bandar memasarkan serta mengagihkan hasil mereka.

Heineken menerima hadiah wang tunai sebanyak USD10,000 dan bimbingan perniagaan global selama setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Azuar Zainuddin dari Malaysia turut dinobatkan naib juara kategori Rakan Pelaksana.

Satu Creative merupakan rakan kongsi penghantaran yang bekerjasama dengan Shell dalam menjalankan program Shell LiveWIRE di Malaysia.

‘Top Ten Innovators’ ialah pertandingan di seluruh dunia dan terbuka kepada alumni program Shell LiveWIRE.

Di Malaysia, program yang diperkenalkan pada 2015 ini diadakan setiap tahun di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, buat pertama kalinya tahun ini ia dibawa ke Semenanjung Malaysia.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Shell LiveWIRE Malaysia, orang ramai boleh log masuk ke laman web https://livewire.shell.com.my/.

  • oleh
  • Advertisement