Anda di sini

Rakyat perlu bertenang, jangan timbulkan spekulasi

Advertisement
JAUJAN
JAUJAN

KOTA KINABALU: Rakyat negara ini khususnya di Sabah perlu bertenang dan jangan menimbulkan sebarang spekulasi tidak sihat.

Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Jaujan Sambakong berkata, khususnya kepada para ahli serta penyokong WARISAN di Sabah dan seluruh negara, suasana ketenangan serta kesatuan perlu dicapai bagi melancarkan lagi pentadbiran negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita sudah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), rakyat sudah memilih dan tiada satu parti pun mempunyai majoriti mencukupi membentuk kerajaan.

"Berikutan itu, tercetuslah idea baik untuk mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, Anwar merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. 

"Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pemimpin luar negara dan sudah pasti keyakinan diberikan negara luar akan memberikan pelaburan positif kepada Malaysia.

"Mereka bukan sahaja mengucapkan tahniah kepada Anwar menjadi Perdana Menteri, tetapi juga ada kepentingan dari segi hubungan dua hala dalam perihal ekonomi," katanya.
 
Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan berkata, ketepikan perkara yang sudah berlaku dan jangan biarkan sejarah berulang yang mana negara ini saling bertukar kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang lima tahun.
 
Katanya, perkara berkenaan sudah dirasai oleh setiap lapisan masyarakat dan menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap masa depan Malaysia.

"Marilah semua pihak termasuk semua rakyat berbilang kaum di Malaysia bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Anwar untuk memimpin Malaysia.

"Semua pihak perlu bersama-sama termasuk parti politik, golongan peniaga dan rakyat," katanya.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menggalas tugas besar, memulihkan keyakinan rakyat, memulihkan ekonomi negara, memperkukuhkan sistem undang-undang, kes salah guna kuasa rasuah yang berleluasa sebelum ini...ini adalah tugas yang berat.

"Oleh itu, negara memerlukan rakyat yang bersatu padu dan beri keyakinan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement