Anda di sini

Prevalens kebutaan Sabah tertinggi di Malaysia

Advertisement
 Pasukan Oftalmologi FPSK UMS mengadakan saringan pra pembedahan katarak di Kudat baru-baru ini.
KENANGAN: Pasukan Oftalmologi FPSK UMS mengadakan saringan pra pembedahan katarak di Kudat baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai prevalens kebutaan tertinggi di Malaysia dengan hampir empat kali ganda berbanding kawasan tengah Semenanjung Malaysia. 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, data berkenaan adalah berdasarkan National Eye Survey in Malaysia (NESII).

Katanya, penyakit rabun mata boleh bermula seawal usia kanak-kanak. Kesan daripada rabun itu boleh mengakibatkan mata malas dan juling dalam kalangan kanak-kanak.

"Tambahan pula, risiko lekang urat mata, katarak dan glaukoma juga tinggi dalam kalangan pesakit rabun ini.

"Penyebab kebutaan yang paling biasa ialah katarak yang tidak dirawat (58.6 peratus), retinopati diabetik (10.4 peratus), penyakit segmen posterior lain (8.4 peratus) dan glaukoma (6.6 peratus). 

"Secara keseluruhan, 86.3 peratus daripada punca kebutaan dapat dielakkan dan 58.6 peratus daripada punca kebutaan boleh dirawat.

"Antara punca masyarakat Sabah memberi alasan sebagai halangan menjalani rawatan pembedahan katarak adalah kos pembedahan dan kebolehcapaian yang sukar disebabkan oleh rupa bumi geografi berbanding negeri lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengambil berat hasil dapatan kajian tersebut, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Kasim Mansor menekankan agar tahap buta di Sabah boleh dielakkan dengan menambah baik perkhidmatan oftalmologi.

Katanya, usaha ini termasuklah meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mata di peringkat sekolah dan masyarakat.

Sehubungan itu, sebuah pasukan dari Jabatan Oftalmogi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS yang diketuai Prof Madya Dr. Shuaibah Abd Ghani telah mengadakan program Pendidikan Kesihatan Mata bertempat di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (RMEC), UMS di Sikuati Kudat baru-baru ini.

Bertemakan ‘Good Eye, Good Vision’, ia antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta, khususnya para guru kesihatan sekolah untuk mengenal pasti masalah penglihatan terutamanya rabun dan juling. 

Disamping itu, para peserta juga dilatih cara mengendalikan saringan pemeriksaan mata serta kemahiran penilaian asas mengenal pasti juling.

Program tersebut dijalankan secara berkala, tiga kali setahun bagi memperluaskan ilmu dan pengetahuan tentang kesihatan mata kepada orang awam.

Dengan wujudnya usaha memperkasakan guru kesihatan sekolah untuk membuat saringan awal, pelajar-pelajar sekolah akan mendapat perkhidmatan kesihatan yang cepat dan berkualiti. 

Ia juga sekali gus mengurangkan risiko kebutaan, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar. 

Program ini juga selaras dengan hala tuju UMS dan objektif penubuhan RMEC dalam usaha menjadi sebuah institusi masyarakat yang unggul.

Dengan adanya jalinan hubungan masyarakat dengan kepakaran universiti seperti ini, ia dapat memperkasakan orang awam seterusnya membangunkan masyarakat yang celik kesihatan.

Ia turut diakui Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Matius Alok yang menyambut baik penganjuran program pendidikan kesihatan mata berkanaan.

Menurutnya, pemerkasaan para guru kesihatan itu mampu meluaskan usaha saringan kesihatan mata dalam kalangan pelajar sekali gus membolehkan mereka yang mempunyai masalah penglihatan dirujuk segera ke pihak klinik atau pasukan kesihatan sekolah. 

  • oleh
  • Advertisement