Anda di sini

Pertemuan GRS dengan PM untuk zahirkan sokongan: Hajiji

Advertisement
Anwar (empat, kanan) diperkenalkan kepada sebahagian daripada ahli Parlimen Sabah ketika menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor (tiga, kanan) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Anwar (empat, kanan) diperkenalkan kepada sebahagian daripada ahli Parlimen Sabah ketika menerima kunjungan hormat Hajiji (tiga, kanan) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Pengerusnya, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika ditemui media, berkata pertemuan berkenaan bertujuan untuk menyatakan sokongan padu oleh gabungan itu dan kerajaan Sabah kepada kepimpinan Anwar dan juga kerajaan baharu.

Katanya, Anwar amat menghargai sokongan tersebut.

Ketua Menteri Sabah itu yang turut ditanya sama ada beliau ada mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen GRS untuk menyertai barisan Kabinet pada pertemuan itu, berkata perkara itu tidak dibincangkan.

Anwar pada Jumaat lepas berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS.

Hajiji pada hari sama turut dilapor berkata sokongan dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri.

GRS terdiri daripada Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). 

Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

Sementara itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuan bersama Perdana Menteri yang berlangsung selama kira-kira 45 minit di Bangunan Perdana Putra.

Beliau berkata MA63 perlu dilihat secara lebih serius oleh kerajaan dan berharap segala perkara tertunggak dalam perjanjian itu dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Selain itu, ditanya sama ada bincang soal jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Kabinet, beliau berkata tiada perbincangan terperinci dilakukan.

"Kita beri pandangan bagaimana pentingnya perjalanan pentadbiran dapat diuruskan dengan baik kerana harapan rakyat begitu tinggi terhadap pemerintahan yang ada pada hari ini. Kita harap ia akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Pada 23 Okt lepas, Anwar dalam Jelajah Pakatan Harapan (PH) Sabah dilapor berkata PH akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya dua jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dua jawatan TPM membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo). - Bernama 

Advertisement