Anda di sini

Ketua penjara di Filipina nafi gali terowong untuk banduan 

Advertisement
Pegawai biro pemulihan mengambil gambar lubang besar yang ditemui dekat kuarters rasmi ketua penjara di pekarangan Penjara Bilibid Baharu di bandar Muntinlupa, Manila pada Rabu lepas. — Gambar AFP
Pegawai biro pemulihan mengambil gambar lubang besar yang ditemui dekat kuarters rasmi ketua penjara di pekarangan Penjara Bilibid Baharu di bandar Muntinlupa, Manila pada Rabu lepas. — Gambar AFP

MANILA: Seorang ketua penjara di Filipina yang dituduh mengarahkan pembunuhan seorang wartawan telah mendakwa bahawa lubang besar yang digali di sebelah rumahnya yang terletak di dalam  kompleks penjara Manila bukanlah terowong untuk banduan melarikan diri tetapi untuk menyelam skuba.

Dianggarkan sedalam 60 meter dan selebar 40 meter, lubang terbuka itu ditemui di kediaman rasmi Gerald Bantag selepas dia digantung tugas sebagai ketua pengarah di Biro Penjara.

Polis mendakwa Bantag telah mengarahkan pembunuhan seorang penyiar radio terkemuka, Percival Mabasa, yang ditembak mati di luar rumahnya di ibu negara bulan lalu.

Dia telah menafikan terlibat dalam pembunuhan itu.

Bantag, yang masih bebas sementara pendakwa raya memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk mendakwanya, telah mengakui kepada media tempatan bahawa dia yang mengarahkan penggalian di rumahnya.

Bantag berkata dia ialah seorang penyelam skuba dan mahu mencipta “kolam renang terdalam di Manila”, menurut satu wawancara yang disiarkan awal bulan ini.

Tetapi sebuah lagi kolam renang berukuran kira-kira 25 meter panjang telah pun dibina hanya beberapa meter dari lubang tersebut.

Bantag menafikan lubang itu direka bentuk untuk menjadi terowong melarikan diri untuk banduan yang ditahan di dalam Penjara Bilibid Baharu yang sesak, yang mana kawasan luas itu juga menempatkan rumah lama Bantag.

Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla minggu lalu bercakap bahawa Bantag telah memberitahunya dia sedang mencari harta karun yang dicuri dari seluruh Asia Tenggara oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan dikhabarkan telah ditimbus di Filipina.

“Sepatutnya itu untuk mencari harta karun. Saya menyuruhnya menghentikannya,” kata Remulla.

Bantag dilantik sebagai ketua penjara pada September 2019 oleh presiden ketika itu, Rodrigo Duterte.

Ketika AFP melawat bekas kuarters Bantag pada Rabu, seorang pengawal keselamatan bersenjata yang berpakaian baju-T hitam dengan gambar daun tumbuhan ganja menjadi sebahagian daripada pasukan berpakaian kasual yang menjaga premis itu.

Mereka berkata seekor ular sawa kuning, haiwan peliharaan, masih merayap di sekitar ruang bawah tanah rumah dua tingkat yang terletak di kawasan penjara seluas 400 hektar itu.

Bantag juga didakwa menyimpan kuda yang pernah ditungganginya dan tahanan, kata Sonny Del Rosario, ketua pejabat maklumat awam Biro Penjara.

Itu “jelas sekali bukan” sebahagian daripada program pemulihan rasmi untuk banduan, katanya kepada AFP pada Rabu.

“Ini kali pertama pengarah memiliki kuda. Saya tidak tahu sebabnya,” kata Del Rosario.

Juga ditemui, ayam sabung di kawasan penjara yang sepatutnya tidak dibenarkan, tetapi Del Rosario berkata ia milik pegawai penjara lain, bukan Bantag.

Del Rosario berkata pihak berkuasa penjara telah mengalami “banyak kontroversi pada masa lalu” dan kakitangan patut mengabaikannya.

Dia menegaskan “bukan semua kami mengambil rasuah”.

“Majoriti kakitangan Biro Penjara sangat baik orangnya,” katanya. — AFP 
 

Advertisement