Anda di sini

Heineken membanggakan negara pada Anugerah Shell LiveWIRE Global Top Ten Innovators 2022

Advertisement
Platform e-dagang Timogah membantu petani kecil luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Platform e-dagang Timogah membantu petani kecil luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian.

KUCHING: Usahawan e-dagang Sarawak, Heineken Laluan membanggakan negara apabila muncul naib juara bagi Kategori Inovasi Perniagaan pada Anugerah Shell LiveWIRE Global Top Ten Innovators 2022.  

Anugerah ini memberi ganjaran kepadaus ahawan yang menunjukkan kecemerlangan dalam inovasi dan tahun ini seramai 195 usahawan dari 17 negara menyertai pertandingan akhir di Mexico City.

“Sangat memberi inspirasi untuk melihat usahawan yang bersemangat dari negara kita diiktiraf di peringkat global kerana menjalankan perniagaan inovatif yang berkembang dan memperkasakan bukan sahaja diri mereka tetapi juga komuniti di mana mereka tinggal.

“Tahniah saya ucapkan kepada Heineken dan semua pemenang,” kata Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Dato Ivan Tan.

Heineken merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Timogah, sebuah platform e-dagang yang membolehkan petani berskala kecil dan luar bandar memasarkan hasil mereka secara dalam talian.

Menerusi kemenangan ini Heineken menerima wang tunai sebanyak AS$10,000 dan setahun bimbingan perniagaan global untuk meningkatkan lagi dan membangunkan perniagaannya. 

“Saya amat bersyukur kerana dipilih sebagai naib juara bagi kategori Inovasi Perniagaan kerana ini telah memperkukuhkan lagi kepercayaan saya terhadap manfaat perniagaan inovatif saya kepada masyarakat petani.

Heineken Laluan

“Dengan pencapaian ini, saya berazam untuk terus memperkasakan masyarakat tempatan membina pertanian,” katanya.

Heineken turut mengucapkan terima kasih kepada Shell atas program keusahawanan yang menakjubkan ini yang telah mendorongnya untuk mengembangkan lagi perniagaannya. 

Ditubuhkan pada 2017, Timogah yang bermaksud terkenal dalam dialek Bidayuh merupakan sebuah platform e-dagang yang mempromosikan hasil segar semula jadi dan produk makanan unik dari Borneo. 

Ia juga membantu perniagaan tempatan dan komuniti pertanian menjangkau lebih ramai pelanggan melalui platform dan alatan digital.

Sehingga kini, Timogah mempunyai vendor yang terdiri daripada pemilik ladang kecil dan masyarakat luar bandar yang berkhidmat untuk lebih 3,000 isi rumah di Kuching.

Selain Heineken, usahawan dari Sabah, Irene Mositol yang merupakan pengasas Dumo Wongi yang membantu wanita menjana pendapatan sendiri dengan mengajar mereka pertanian mampan. 

Irene memenangi kategori Kesan Sosial dan menerima wang tunai AS$20,000 dan setahun bimbingan perniagaan global. 

Manakala Azuar Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, dari Semenanjung Malaysia dinobatkan sebagai naib juara kategori Rakan Pelaksana. 

Satu Creative ialah rakan kongsi penghantaran yang bekerjasama dengan Shell dalam menjalankan Shell LiveWIRE di Malaysia.

Sepuluh Inovator Teratas ialah pertandingan di seluruh dunia yang terbuka kepada alumni program Shell LiveWIRE. 

Di Malaysia, program yang diperkenalkan pada 2015 ini diadakan setiap tahun di Sabah dan Sarawak dan buat pertama kalinya tahun ini di Semenanjung Malaysia. 

Di Sarawak, Shell bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) untuk menjayakan program ini bagi memberi manfaat kepada usahawan Sarawak. 

Untuk maklumat lanjut tentang Shell LiveWire Malaysia, log masuk ke https://livewire.shell.com.my. 
 

Advertisement