Anda di sini

Gempa bumi di Indonesia: Mayat kanak-kanak, 7, akhirnya ditemui

Advertisement
Anggota penyelamat menemui mayat Cika di bawah runtuhan di kampung Cugenang di Cianjur kelmarin. — Gambar AFP
Anggota penyelamat menemui mayat Cika di bawah runtuhan di kampung Cugenang di Cianjur kelmarin. — Gambar AFP

CIANJUR: Seorang kanak-kanak perempuan Indonesia berusia tujuh tahun telah ditemui mati, menjadi berita tergempar dalam operasi menyelamat yang dijalankan seharian selepas gempa bumi di Jawa Barat mengorbankan 272 orang, kata pasukan penyelamat kelmarin.

Pasukan kecemasan menemui mayat Ashika Nur Fauziah, juga dikenali sebagai Cika, di bawah runtuhan di daerah Cianjur, bandar yang paling teruk dilanda gempa bumi pada Isnin yang mengakibatkan tanah runtuh, bumbung ranap, dinding tumbang dan menimbus mangsa dalam timbunan tanah.

“Mayat segera diserahkan kepada keluarga. Keluarga menerima dan dia kemudian dikebumikan,” kata penyelamat berusia 28 tahun, Jeksen Kolibu kepada AFP.

“Keluarga itu histeria. Mereka sangat sedih. Ibu mangsa telah menerima mayat.”

Berpuluh-puluh penyelamat telah meluangkan sepanjang hari Khamis menggunakan alat menggali, tukul dan tangan mereka untuk membersihkan runtuhan dalam misi rumit itu, yang ditangguh semalaman hingga pagi kelmarin.

Cika ditemui di bawah tiga lapisan konkrit, kata Kolibu.

Misi pencarian tertumpu pada rumah neneknya, terletak di seberang jalan dari rumah keluarga, di mana ibunya percaya dia sedang bermain ketika gempa bumi tercetus.

“Dia bermain di luar, saya sedang memasak di dapur, tiba-tiba gempa bumi berlaku, begitu pantas, hanya dua saat, rumah saya runtuh,” kata ibunya Imas Masfahitah, 34, kepada AFP di tempat kejadian pada Khamis.

“Apa-apa pun yang berlaku, saya akan cuba menerimanya,” tambahnya sambil menangis dan memegang sandal anak perempuannya.

Harapan untuk penemuan menggembirakan telah bangkit berikutan penyelamatan dramatik seorang budak lelaki berusia enam tahun, Azka, pada petang Rabu, yang disifatkan sebagai “keajaiban” selepas dia terselamat dalam runtuhan tanpa makanan atau air selama lebih dua hari.

“Ibunya sangat berharap. Azka terselamat, manakala Cika tidak. Itu yang membuatkan saya sedih,” kata Kolibu.

Sebelum Cika ditemui, pihak berkuasa berkata 39 orang masih hilang dan usaha menyelamat terus terhalang akibat hujan lebat dan gegaran susulan yang boleh membawa maut. — AFP
 

Advertisement