Anda di sini

FSI perlu manfaatkan peluang Hala Tuju SMJ

Advertisement
 Joachim (tengah) bersama Ahli Majlis FSI dalam majlis tersebut.
KENANGAN: Joachim (tengah) bersama Ahli Majlis FSI dalam majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Persekutuan Industri Sabah (FSI) perlu memanfaatkan peluang yang disediakan dalam inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Hala Tuju SMJ adalah aspirasi utama kerajaan dalam membawa pembangunan yang pesat ke negeri ini.

“Semua rakyat di negeri ini, termasuk FSI perlu memanfaatkan peluang perniagaan dan pelaburan yang sudah disediakan.

“Kejayaan kerajaan negeri bagi mencapai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS dalam sektor minyak dan gas menyediakan ruang yang luas untuk semua pihak menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun FSI Ke-39 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, sebagai ketua eksekutif negeri, ia adalah aspirasi beliau untuk mencatat jalan ke arah Sabah yang progresif.

“Usaha kerajaan tidak pernah terhenti untuk membawa lebih banyak kemajuan di Sabah demi kesejahteraan rakyat dan kita sudah memutuskan supaya meneruskan misi ini.

“Hala Tuju SMJ yang dilancarkan awal tahun lalu berada dalam landasan yang betul dengan menggariskan visi, strategi dan keutamaan kerajaan negeri untuk lima tahun akan datang bermula 2021.

“Pelan tindakan ini adalah penting untuk membawa negeri Sabah ke dekad yang akan datang,” katanya.

Katanya, pada tahun lalu, menerusi pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, Sabah mencatatkan hasil sebanyak RM5.449 bilion.

“Menerusi tumpuan dan pengurusan yang betul, kita mampu meraih keuntungan pendapatan yang lebih besar tahun ini iaitu lebih RM6 bilion,” katanya.

Dari segi menarik lebih banyak pelaburan, katanya, dalam tempoh dua tahun (September 2020-2022) Sabah kekal konsisten dengan 46 syarikat melabur dalam sektor perkilangan dan mewujudkan 5,000 pekerjaan.

“Dalam tempoh yang sama, jumlah pelaburan asing yang dicatatkan ialah RM12 bilion dan RM942 juta dalam pelaburan domestik.

“Sabah akan meneruskan momentum positif ini kerana kita yakin Sabah telah dan akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik,” katanya.

Hajiji berkata tema ulang tahun FSI tahun ini ‘Sabah: Hub for the Far East– AI + Human = Future’ mencerminkan keperluan era pasca-pandemik, terutamanya dalam menjalankan perniagaan pada masa hadapan.

“Menggabungkan teknologi baharu dalam perniagaan untuk sistem penyampaian yang lebih baik adalah proses yang kita lakukan.

“Kita mengambil setiap langkah untuk memperbaiki dan mentransformasikan bukan sahaja perkhidmatan awam negeri tetapi menggalakkan pertumbuhan perniagaan di negeri ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement