Anda di sini

TDM mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan baharu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain (gambar) berkata TDM sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada barisan kepimpinan negara, untuk memandu pasukan keselamatan itu ke arah lebih baik.

“Harapan TDM adalah yang terbaik (daripada kerajaan). Siapa sahaja yang memimpin dan menjadi kerajaan, kami akan sokong sepenuhnya dan sememangnya mengharapkan yang terbaik daripada mereka (kerajaan).

“Saya rasa pemimpin-pemimpin yang dipilih itu adalah dalam kalangan mereka yang bijaksana,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Asnaf Orang Asli sempena Program Jiwa Murni TDM 2022 di Batu 12, Gombak, di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Malaysia mencatat sejarah menerusi pembentukan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti lain diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, 75, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini pada hari sama. - BERNAMA

Advertisement