Anda di sini

SAFA adakan kunjungan hormat terhadap CEO ASB

Advertisement
 Japar (empat kiri) menunjukkan baju rasmi bagi pelancaran akademi itu nanti sambil diperhatikan Azman (empat kanan), David (tiga kiri), Lokman dan Malim.
ALBUM: Japar (empat kiri) menunjukkan baju rasmi bagi pelancaran akademi itu nanti sambil diperhatikan Azman (empat kanan), David (tiga kiri), Lokman dan Malim.



LABUAN: Rombongan pegawai Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diketuai Penolong Setiausaha Agungnya, Azman mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asian Supply Base Sdn Bhd, Japar Esteban di pejabatnya di sini pada Rabu.


Antara perbincangan yang dilakukan termasuk program pelaksanaan Akademi SAFA yang dijangka dilancarkan di Sandakan pada masa terdekat.


Azman ketika ditemui selepas kunjungan itu, berkata ASB merupakan antara penaja akademi yang pertama kali diwujudkan badan bola sepak tersebut.


Katanya, ASB sentiasa memberi kerjasama kepada SAFA dalam menjayakan sebarang program dan aktivitinya selama ini termasuk menjadi sebahagian penaja bagi penganjuran Kejohanan Piala BMR B18 Sabah dan Kejohanan Piala Ketua Menteri.


"Kita mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan penajaan oleh ASB khususnya dalam membantu memajukan sukan bola sepak di Sabah," katanya.


Beliau berharap kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan perancangan untuk masa hadapan sukan bola sepak ini dapat direalisasikan.


Mengenai majlis pelancaran Akademi SAFA itu, Azman memberitahu, ia akan dilakukan di Sandakan dalam masa yang terdekat.


Katanya, ia sepatutnya dilancarkan lebih awal namun terpaksa ditangguhkan disebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.


Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim dan Pegawai Tadbir, Malim Surat.

  • oleh
  • Advertisement