Anda di sini

Algeria hukum mati 49 bunuh ‘pembakar hutan’

Advertisement

Mangsa telah difitnah dalam insiden Ogos tahun lepas

Gambar fail 18 Ogos menunjukkan anggota bomba melintasi sebuah rangka bas di mana 12 orang dilaporkan maut ekoran kebakaran hutan di bandar El-Kala, Algeria. — Gambar AFP
Gambar fail 18 Ogos menunjukkan anggota bomba melintasi sebuah rangka bas di mana 12 orang dilaporkan maut ekoran kebakaran hutan di bandar El-Kala, Algeria. — Gambar AFP

ALGIERS: Mahkamah Algeria kelmarin menjatuhkan hukuman mati terhadap 49 orang kerana membunuh seorang lelaki yang difitnah memulakan kebakaran hutan besar-besaran pada Ogos tahun lepas, lapor media negara.

Bagaimanapun negara Afrika Utara itu mengekalkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati sejak yang terakhir pada 1993.

Orang awam telah memukul Djamel Ben Ismail yang berusia 38 tahun hingga mati selepas dia menyerahkan diri di sebuah balai polis di wilayah Tizi Ouzou.

Dia pergi ke sana sebaik mendengar bahawa dia telah disyaki melakukan pembakaran dengan sengaja, ketika kemuncak kebakaran hutan yang mengorbankan sekitar 90 orang di seluruh negara.

Ia kemudian didapati bahawa Ben Ismail telah menuju ke wilayah itu sebagai anggota sukarelawan untuk membantu memadamkan kebakaran.

Mahkamah di Dar El Beida kelmarin menjatuhkan hukuman mati terhadap 49 orang bagi pembunuhan Ben Ismail dan perbuatan mencacatkan mayatnya, lapor agensi berita APS.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun hingga satu dekad tanpa parol terhadap 28 defendan lain, kata APS.

Video yang dipaparkan dalam talian pada masa itu menunjukkan orang ramai mengelilingi sebuah van polis dan memukul seorang lelaki di dalamnya, kemudian mengheret dia keluar dan membakarnya, dengan beberapa yang lain sempat mengambil swafoto.

Imej mengerikan itu telah dikongsikan secara meluas dan mencetuskan kemarahan di Algeria.

Kumpulan hak asasi manusia LADDH di Algeria menyeru agar keadaan tenang dan mereka yang bertanggungjawab atas “pembunuhan keji” harus dibawa ke muka pengadilan.

“Imej tersebut melambangkan satu lagi trauma bagi keluarga dan rakyat Algeria, yang telah dikejutkan oleh kebakaran,” jelasnya.

Bapa mangsa, Noureddine Ben Ismail, telah mendapat pujian kerana menyeru bagi keadaan tenang dan “persaudaraan” di kalangan rakyat Algeria di sebalik pembunuhan anak lelakinya.

Kebakaran telah berpunca daripada gelombang haba yang sangat panas, namun pihak berkuasa turut mempersalahkan pihak yang membakar dengan sengaja dan “penjenayah” bagi kejadian itu.

Mereka turut mempersalahkan pergerakan bebas dari wilayah Kabylie yang dihuni majoriti penduduk Berber di sepanjang pantai Mediterranean di timur Algiers. — AFP
 

Advertisement