Anda di sini

Sekurang-kurangnya 50 cedera gempa bumi 6.1 gegar Turkiye

Advertisement
 

ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan barat laut Turkiye pada awal pagi kelmarin, mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang.

Gegaran cetek itu melanda kira-kira 170 kilometer timur Istanbul, bandar terbesar di negara itu, di mana gegaran paling kuat dirasai.

Pihak berkuasa negara berkata gempa itu bermagnitud 5.9 dan pusat gempa berada di Golyaka wilayah Duzce, walaupun ia turut menggegarkan bandar-bandar lain yang berdekatan.

“Kami dikejutkan dengan bunyi bising dan gegaran yang kuat,” kata penduduk Duzce, Fatma Colak.

“Kami keluar dari rumah dalam keadaan panik dan kini kami menunggu di luar.”

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu, yang melawat Golyaka, berkata seorang cedera parah selepas terjun dari balkoni kerana panik.

Imej awal menunjukkan orang ramai berselimut di luar rumah mereka pada awal pagi. Ada yang membentangkan selimut di lantai di luar, dan menyalakan api untuk menghangatkan badan.

Soylu berkata, selain beberapa bangsal musnah, tiada laporan kerosakan teruk atau bangunan runtuh, tetapi pemeriksaan akan diteruskan.

Pihak berkuasa akan memeriksa 8,000 bangunan untuk sebarang kerosakan.

Agensi bencana negara, AFAD berkata bekalan elektrik terputus di wilayah Duzce, dan menggesa penduduk supaya tidak panik.

Ia juga melaporkan bahawa 101 gegaran susulan telah direkodkan. — AFP
 

Advertisement