Anda di sini

Protes ganas meletus di kilang iPhone China 

Advertisement
 Imej daripada rakaman video AFP yang disiarkan kelmarin menunjukkan pekerja bertempur dengan polis rusuhan di sekitar kilang iPhone Foxconn di Zhengzhou di tengah China. — Gambar AFP
HURU-HARA: Imej daripada rakaman video AFP yang disiarkan kelmarin menunjukkan pekerja bertempur dengan polis rusuhan di sekitar kilang iPhone Foxconn di Zhengzhou di tengah China. — Gambar AFP

BEIJING: Protes ganas meletus di sekitar kilang iPhone terbesar China, Foxconn, menyaksikan pekerja bertelagah dengan anggota keselamatan berhubungan dengan gaji dan keadaan hidup di kilang itu.

Dalam video yang dikongsi dengan AFP dan juga diedarkan di media sosial, ratusan pekerja dilihat berarak di jalan raya dan bertekak dengan polis rusuhan serta kakitangan yang memakai sut hazmat.

Gergasi teknologi Taiwan, Foxconn kelmarin mengesahkan pergolakan itu.

Rakaman oleh seorang pekerja kilang menunjukkan seseorang terbaring di atas tanah bersebelahan dengan seorang lelaki yang berjaket berlumuran darah dengan kepalanya dibalut untuk menahan luka.

Klip lain menunjukkan berpuluh-puluh kakitangan berpakaian sut hazmat memegang belantan dan mengejar pekerja, salah seorang daripada pekerja tersadung jatuh sebelum ditendang di kepala.

Pekerja yang berkongsi video itu menganggarkan kira-kira 20 orang cedera dalam pertempuran tersebut, sebahagian daripada mereka dibawa ke hospital. Dia meminta namanya dirahsiakan untuk melindungi keselamatannya.

Konfrontasi tercetus selepas pekerja yang menandatangani perjanjian dengan kilang untuk bekerja sekurang-kurangnya 30 hari untuk menerima bayaran sekali sebanyak 3,000 yuan (RM1,905) namun tiba-tiba bayaran mereka dikurangkan kepada hanya 30 yuan (RM19), katanya kepada AFP.

Ramai pekerja juga berasa marah dengan keadaan hidup yang “huru-hara”, dan “tidak menerima apa-apa makanan” daripada syarikat itu sejak Selasa.

Beberapa kakitangan yang negatif COVID-19 juga telah diarahkan untuk bekerja bersama-sama rakan sekerja yang sudah diuji positif tetapi tidak dikuarantin, jelas pekerja itu.

Foxconn mengakui bahawa pekerja telah mengadu tentang gaji dan keadaan di kilang itu tetapi menafikan ia telah menempatkan rekrut baharu bersama kakitangan positif COVID-19 di kilang Zhengzhou, pengeluar iPhone terbesar di dunia.

“Mengenai sebarang keganasan, syarikat akan terus berkomunikasi dengan pekerja dan kerajaan untuk mengelakkan kejadian serupa berulang,” kata firma itu dalam satu kenyataan.

Video lain yang disiarkan di media sosial dan kemudiannya disahkan oleh AFP turut menyaksikan rakaman seorang lelaki dengan mukanya berlumuran darah dan seseorang di luar kamera berkata: “Mereka memukul orang, memukul orang. Adakah mereka mempunyai belas kasihan?”

Seorang lagi di tempat kejadian yang sama menunjukkan berpuluh-puluh pekerja berhadapan dengan barisan anggota polis dan menjerit “Pertahankan hak kami! Pertahankan hak kami!” manakala suara lain bercakap tentang “bom asap” dan “gas pemedih mata”. — AFP 
 

Advertisement