
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan untuk memasukkan Pesta Rakyat Durin dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Rakyat Durin Kaunselor Teo Boon Siew berkata, MDLBS akan menghantar permohonan tersebut dalam masa terdekat atau selepas berakhirnya pesta itu nanti.
"MDLBS akan menghantar sendiri permohonan itu dalam masa terdekat ini bagi membolehkan Pesta Rakyat Durin ini mendapat peruntukan yang cukup daripada pihak berkenaan untuk menganjurkannya dengan berskala besar pada tahun akan datang.
"Kami yakin Pesta Rakyat Durin ini layak untuk disenaraikan (Kalendar Pelancongan Sarawak) kerana ia mampu menarik sekitar 4,000 hingga ke 5,000 pengunjung yang datang dari pelbagai kawasan khususnya di kawasan tengah ini.
"Pesta ini dianjurkan sendiri oleh inisiatif rakyat Durin sejak tahun 1998 lagi. Selepas itu, MDLBS menyertai kami untuk bekerjasama menganjurkannya sehinggalah ke hari ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas Majlis Perasmian Pertandingan Bot Kawalan Jauh di Tebingan Pekan Durin dekat sini, hari ini.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh wakil Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang iaitu Penghulu Ting Tien Huat.
Hadir sama ialah Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai dan Pemangku Setiausaha MDLBS Chiong Siew Ping.
Menurut Teo, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah mengagihkan dana sebanyak RM70,000 kepada penganjuran pesta tersebut pada tahun ini.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu masih tidak mencukupi kerana penganjuran perlumbaan bot laju berkuasa tinggi menelan kos yang besar.
"Bila Pesta Rakyat Durin ini dapat dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri segala urusan penganjurannya akan berjalan lancar lebih-lebih lagi berkaitan dengan kewangan.
"Selain itu, ia juga akan dapat mempromosikan Pekan Durin serta meningkatkan ekonomi setempat dengan lonjakkan program pelancongan yang dirancang oleh pihak kementerian," tegasnya.
Sementara itu, Pesta Rakyat Durin dijangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing pada esok hari, jam 8.30 pagi manakala majlis penutupannya dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I Datu Dr Penguang Manggil pada Ahad ini, jam 6.30 petang.
Pesta ini bermula dengan rasminya hari ini hingga 27 November ini, manakala pesta ria sempena Pesta Rakyat Durin telah mula diadakan sejak 20 November lalu.
Antara acara sampingan ialah pertandingan bot kawalan jauh, perlumbaan bot laju berkuasa tinggi, regata mini, sepak takraw, karaoke, ngajat, dart, menangkap itik, pertandingan mewarna, bola keranjang dan poco-poco.
Acara tumpuan pada pesta kali ini jelasnya ialah regata mini, pertandingan ratu kebaya (pada malam terakhir penganjuran) dan persembahan bunga api.
Sebanyak 38 gerai yang menjual pelbagai jenis barang dan permainan mengambil bahagian, sementara 17 gerai komuniti disediakan bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat terlibat dalam aktiviti perniagaan.