Anda di sini

Penjenamaan semula Affin Hwang AM sasar peluasan serantau, pertumbuhan aset RM100 bilion

Advertisement
Mengguna pakai pendekatan holistik dan mengutamakan pelanggan, platform kekayaan syarikat AHAM Capital membolehkan pelabur mendapat akses kepada penyelesaian serantau dan global.
Mengguna pakai pendekatan holistik dan mengutamakan pelanggan, platform kekayaan syarikat AHAM Capital membolehkan pelabur mendapat akses kepada penyelesaian serantau dan global.

KUCHING: Tanggal 22 November 2022, Affin Hwang Asset Management (AHAM) melakar permulaan baharu apabila syarikat tersebut merasmikan nama dan logo baharunya yang memfokus kepada tiga tonggak pertumbuhan strategik.

AHAM Asset Management Berhad (AHAM Capital) kini menjadi nama jenama ringkas perniagaan berusia 21 tahun itu.

Menurut Pengarah Urusan AHAM Capital Dato Teng Chee Wai, penjenamaan semula ini dipercayai memantapkan syarikat untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

“Pada hari ini, kami membawa perniagaan kami ke puncak yang lebih tinggi dengan  melaksanakan tiga tonggak pertumbuhan strategik – pengurusan kekayaan, inovasi dan pengembangan serantau yang akan memartabatkan AHAM Capital sebagai syarikat pengurusan kekayaan dan aset bebas di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media.

Menjelas lanjut mengenai logo baharu itu, Teng berkata, jalur infiniti yang terjalin rapat mewakili pelanggan yang setia, pemegang saham dan pekerja-pekerja syarikatnya di samping menandakan evolusinya sebagai syarikat pengurusan aset moden dan menumpukan masa depan. 

Dengan kewibawaan pasukan kepimpinan yang sama, Teng berkata beliau yakin dapat mencapai sasaran aset di bawah pentadbiran (AUA) sebanyak RM100 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Matlamat ini akan diperkayakan lagi dengan mengukuhkan keupayaan pengurusan kekayaan, tambahnya.

Menurutnya, daripada hanya RM20 juta kepada lebih RM75 bilion (setakat 31 Oktober 2022), AHAM Capital telah mencapai pertumbuhan yang luar biasa melalui peningkatan jumlah AUAnya.

“Kami juga akan mempelopori inovasi untuk menyokong pembangunan penyelesaian menumpukan digital yang bakal meluaskan capaian kepada produk pelaburan untuk semua segmen pelanggan,” jelas Teng.

Setakat ini, kira-kira RM50 juta telah dilaburkan untuk pendigitalan dalam tempoh lima tahun lepas. 

Syarikat tersebut akan terus melaksanakan dan meningkatkan saluran digitalnya untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggannya.

Pengarah Urusan AHAM Capital itu juga memperkenalkan pemegang saham baharu mereka, CVC Capital Partners serta Nikko Asset Management yang setia menyokong perniagaan itu. 

Teng juga berkata bahawa mereka akan terus meneroka sempadan baharu dalam bidang pengurusan kekayaan untuk memperkasakan pelabur dalam keadaan kewangan yang kian berubah. 

Teng menyatakan AHAM Capital akan berkembang dalam pasaran ASEAN iaitu Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand, negara yang mempunyai populasi yang besar. 

Dengan menitikberatkan isu inflasi, beliau berharap kelembapan perniagaan tahun depan tidak akan seperti jangkaan pasaran dan dengan ini, industri perlu memantau kadar inflasi bagi membolehkan penggubal dasar menyesuaikan diri dalam menghadapi peningkatan kadar faedah, ujarnya.

Melalui dana unit amanah yang stabil, dana dagangan bursa, pematuhan syariah dan pengurusan tunai, AHAM Capital menyediakan penyelesaian komprehensif yang membantu pelabur merealisasikan matlamat kewangan mereka.

Penyelesaian pelaburan syariah syarikat akan terus diurus dan disediakan melalui anak syarikat milik penuhnya dan cabang pelaburan Islam, AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd.

Turut hadir pada majlis penjenamaan semula dan pelancaran jenama baharu ini ialah Pengarah Urusan Kanan CVC Capital Partners Alvin Lim dan Presiden Nikko Asset Management Asia Ltd dan Ketua Asia Ex-Japan Eleanor Seet.
 

  • oleh
  • Advertisement