Anda di sini

Meskipun tewas Wilfred tetap tegar terlibat dalam politik

Advertisement
 

MIRI: Meskipun tewas kepada penyandang kerusi Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir Isnin lalu, namun ia tidak mematahkan semangat Wilfred Entika Rebai (gambar) untuk terus terlibat dalam politik.

Malah calon Bebas yang bertanding di kerusi Parlimen Baram itu berikrar akan membuat penampilan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"PRU15 ini hanyalah permulaan dalam perjalanan politik saya dengan diiringi pelbagai rintangan.

"Kekalahan saya di kerusi P.220 Baram pada PRU15 ini memang sudah dijangka.

"Pelbagai faktor yang menyumbang (kekalahan) telah saya kenal pasti dan saya rasa semua ini akan ditangani dengan sewajarnya untuk menghadapi PRN kelak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut Wilfred, untuk PRU15 yang baru sahaja berakhir beliau hanya berkempen melalui media sosial dan oleh itu sukar untuk mencapai para pengundi yang berada di kawasan pedalaman terutama mereka yang tidak mempunyai akses Internet.

Selain itu katanya, beliau juga tidak menggunakan sebarang poster, sepanduk mahupun bendera dan ejen kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi.

"Saya hanya ada risalah dan itulah antara penyebab utama mengapa saya hanya mampu meraih beberapa undi," ujarnya sambil menambah, majoriti penyokongnya terdiri daripada mereka yang tinggal dan bekerja di Miri dan bandar-bandar lain.

Oleh kerana beliau merupakan calon Bebas dan tidak mempunyai dana, justeru menurut Wilfred beliau tidak mampu menanggung kos pengangkutan pengundi untuk balik mengundi sebagaimana yang biasa dilakukan oleh parti politik lain.

Dalam pada itu,  walaupun tewas pada PRU15 lalu, beliau amat berterima kasih kepada para pengundi yang telah mengundinya dan mereka yang telah membantunya sepanjang tempoh berkempen.

"Saya pasti anda semua mengundi saya kerana anda mahu perubahan berlaku di Baram.

"Saya akan kembali ke Baram tidak lama lagi dan saya akan bekerjasama dengan penduduk Baram bukan semata-mata untuk politik tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi melalui banyak program yang saya telah disebut dalam manifesto saya," katanya.

Pada PRU15 yang baru berakhir, Wilfred Entika hanya memperoleh 324 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Anyi Ngau (GPS) dan Roland Engan (Pakatan Harapan).

Anyi memperoleh 18,399 undi manakala Roland mendapat 11,060 undi.
 

  • oleh
  • Advertisement