Anda di sini

Masyarakat harap Anwar mampu cipta ‘keajaiban’ pacu ekonomi

Advertisement

LIMBANG: Masyarakat di sini berharap pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mampu mencipta ‘keajaiban’ selain memacu ekonomi negara ke arah lebih baik.

 

Seorang peniaga, Jessica Phang (gambar), 40-an, berkata besar harapan rakyat Sarawak terutama di utara negeri ini agar ekonomi dapat dipulihkan segera.

“Memang saya mahu ekonomi kita stabil, pulih kembali dan mata wang kita kembali naik, jadi taklah barang-barang keperluan mahal,” katanya kepada media di sini hari ini ketika mengulas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

Jessica juga berharap Anwar bersama barisan kabinet yang bakal dilantik nanti terdiri daripada individu yang ikhlas membantu negara keluar daripada ‘zaman gelap’ dan memerangi rasuah.

“Bab peperangan ke atas rasuah ini memang saya sokong agar usaha membanteras rasuah dilakukan di setiap akar umbi dan turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

“Kita tidak mahu gejala rasuah terus bermaharajalela kerana ia merosakkan masyarakat dan negara,” jelasnya.

Beliau juga mahu rakyat memberi masa kepada Anwar untuk memulihkan ekonomi negara.

“Kita sebagai rakyat memberi keyakinan tinggi kepada Anwar membawa reformasi lebih baik untuk negara termasuk di Limbang,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi harapan rakyat agar Anwar dan barisan kabinetnya nanti lebih cakna kepada rakyat dan berjuang untuk masyarakat pelbagai kaum.

Dari segi bantuan kerajaan, Jessica mahu kerajaan perpaduan nanti melihat golongan benar-benar dibantu agar bantuan dapat sampai kepada golongan sasar.

 

Bagi rakyat Lawas yang juga pesara kerajaan, Omarali Matjais (gambar), 60-an, optimis kerajaan perpaduan akan terus mengangkat negara ke landasan terbaik tanpa meminggirkan rakyat.

Jelasnya, kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik berseteru dengan tujuan dalam konteks Malaysia masa kini, tiada parti  mempunyai sokongan majoriti dan menangani krisis ekonomi dijangka berlaku mulai tahun depan.

“Maka, pembentukan kerajaan perpaduan sekarang ini adalah sesuatu yang positif dari segi melonjakkan sosioekonomi yang tenat sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Apa yang penting kita harus menyokong pembentukan kerajaan hibrid yang dipersetujui bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi menghadapi masa depan tidak menentu ini,” jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement