Anda di sini

Lapan sektor ekonomi dikenal pasti untuk dibangunkan di Mukah

Advertisement
Malcolm semasa menjawab pertanyaan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada Persidangan DUN, hari ini. - Gambar UKAS.
Malcolm semasa menjawab pertanyaan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada Persidangan DUN, hari ini. - Gambar UKAS.

KUCHING: Lapan sektor ekonomi telah dikenal pasti untuk dibangunkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Mukah, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh. 

Beliau berkata, ia bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Sarawak khasnya di kawasan Mukah.

Menurutnya, lapan sektor tersebut ialah sektor pendidikan, komunikasi dan teknologi, pertanian, bioteknologi, perikanan, kebudayaan, makanan dan pembuatan.

"Pembangunan dan perkembangan lapan sektor ekonomi tersebut dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada Persidangan DUN, hari ini.

Malcolm menambah, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta agensi dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) giat melaksanakan pelaburan di Sarawak termasuk Mukah.

"Pada masa ini, Kerajaan Sarawak menubuhkan InvesSarawak di mana ia akan menjadi agensi sehenti bagi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan," katanya.

Ditanya mengenai kemudahan yang disediakan di Mukah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, Malcolm berkata terdapat enam kemudahan yang disediakan.

Antaranya dua loji penjana kuasa arang batu, lapangan terbang, institusi pengajian tinggi, pusat digital komuniti, hub digital inovasi Mukah serta 15 pusat ekonomu digital keluarga Malaysia (PEDi).

Selain itu, Malcolm menambah sebanyak 600 menara diperuntukkan di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) bagi fasa 1 dan 2 di kawasan luar bandar Sarawak.

"Daripada jumlah itu, 33 menara baharu diperuntukkan di Mukah di mana 11 menara siap dibina dan akan beroperasi suku kedua 2023 manakala 22 menara dijangka beroperasi hujung 2023," jelasnya.

Katanya lagi, menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 52 menara diperuntukkan di Mukah dan dijadual siap secara berperingkat hingga suku keempat 2023.

Selain itu, Malcolm menambah terdapat tiga projek Anjung Usahawan yang sedang dalam perancangan untuk bahagian mukah iaitu Balingian, Daro dan Dalat serta projek taman perindustrian di Dalat.

Jelasnya, pelaksanaan projek ini bakal mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan baharu dan pekerjaan kepada anak tempatan.
 

  • oleh
  • Advertisement