Anda di sini

Kedudukan ranking hanya nombor: Song

Advertisement
Song menghadiri sidang media menjelang pertembungan di antara Cameroon dan Switzerland. — Gambar AFP
Song menghadiri sidang media menjelang pertembungan di antara Cameroon dan Switzerland. — Gambar AFP

DOHA: Jurulatih Rigobert Song pada Rabu berkata kedudukan ranking tidak bermakna ketika dia menyokong pasukannya, Cameroon untuk menjadi pasukan terbaharu yang akan mencipta kejutan di Piala Dunia 2022 di Qatar.

Cameroon akan memulakan penampilan kelapan mereka di Piala Dunia tetapi pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia 1990 itu bukan pasukan yang sama lagi kerana kini mereka berada pada ranking ke-43 dunia dan hampir gagal layak ke Qatar.

Kemenangan terakhir mereka di Piala Dunia ialah pada 2002 dan mereka menjadi pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan G, yang termasuk Brazil, Serbia dan Switzerland.

Tetapi Arab Saudi mengejutkan Argentina dan Jepun  menyentak Jerman dengan masing-masing keputusan 2-1 dalam dua hari terakhir kejohanan ini.

Song, bekas pemain pertahanan dan kapten Cameroon, berkata pasukannya  mampu mencipta kejutan bermula dengan perlawanan lewat menentang Switzerland.

“Kita sudah melihat kejutan di Piala Dunia ini, kami menghormati lawan kami tetapi dalam padang, anda akan melihat siapa lebih kuat,” kata Song, 46.

“Kedudukan ranking tidak bermakna apabila anda berada dalam padang bola sepak.”

Song, bekas pemain pertahanan Liverpool yang hanya menjadi  jurulatih Cameroon pada bulan Mac lalu, berkata pemainnya dapat membuat persediaan untuk Piala Dunia tanpa gangguan seperti sebelum ini.

“Kami sangat tenang dan gembira kerana kesilapan lepas tidak berulang,” katanya.

“Kami tidak mempunyai permasalahan seperti gaji atau wang – semuanya berubah dalam persatuan bola sepak sekarang dengan (bekas penyerang) Samuel Eto’o menjadi presiden.

“Dia bekerja-keras setiap hari untuk memastikan pemain mendapat persediaan terbaik.”

Song bermain dalam empat edisi Piala Dunia dan berharap dia dapat menggunakan pengalaman itu untuk membantu skuadnya berdepan dengan tekanan di Qatar, terutama sekali kepada pemain muda. — AFP
 

Advertisement