Anda di sini

Festival Sunbear 2022 dijangka tarik 8,000 penggemar muzik

Advertisement

Lebih 5,000 tiket telah dijual setakat ini, 10-15% daripada pembeli tiket terdiri daripada penggemar muzik luar Sarawak

 Abdul Karim (tiga kiri) menunjukkan papan tanda bagi Festival Sunbear 2022. Turut kelihatan Ting (kiri), Nasir (empat kiri) dan pihak lain yang terlibat dalam festival tersebut.
PROMOSI: Abdul Karim (tiga kiri) menunjukkan papan tanda bagi Festival Sunbear 2022. Turut kelihatan Ting (kiri), Nasir (empat kiri) dan pihak lain yang terlibat dalam festival tersebut.

“Perkara ini sangat menggembirakan kerana ia sangat baik untuk pelancongan Sarawak malah Malaysia secara umumnya.”  

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 

Oleh Hafizah Abdul Hamid

KUCHING: Festival Muzik dan Seni Sunbear 2022 (Festival Sunbear 2022) yang bakal diadakan pada 9 dan 10 Disember depan dijangka akan membawa masuk sekitar 8,000 penggemar muzik dari semua lapisan masyarakat, khususnya di rantau Asia. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekitar lebih daripada 5,000 tiket telah dijual setakat ini dengan 10 hingga 15 peratus daripada pembeli tiket terdiri daripada penggemar muzik dari luar Sarawak. 

“Perkara ini sangat menggembirakan kerana ia sangat baik untuk pelancongan Sarawak malah Malaysia secara umumnya. 

“Bahkan penduduk tempatan yang datang dari Miri, Sibu atau dari mana-mana daerah di Sarawak yang pergi ke festival ini di sini (Kuching) juga akan mempromosikan pelancongan domestik secara tidak langsung,” ujarnya pada sidang media Festival Sunbear 2022 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur ll di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Nasir Lariwoo, para penganjur dan pihak terlibat dalam festival.

 

Mengulas lanjut Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, Festival Sunbear 2022 akan menampilkan sekitar 44 penghibur muzik dari seluruh Asia dan Malaysia.
 
Menurutnya, turut dijangka membuat persembahan dan baru dimasukkan ke dalam festival tersebut sebagai tajuk utama adalah Bunkface, yang dijangka akan membuat persembahan pada hari Jumaat. 

Selain Bunkface, Abdul Karim berkata pengunjung festival menjangkakan Festival Sunbear 2022 menampilkan tajuk utama terbesar untuk membuat persembahan iaitu The Red Jumpsuit Apparatus dari Amerika Syarikat.

“Festival Sunbear juga akan menampilkan artis dan band dari Thailand, Norway, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan ramai lagi artis dari seluruh Asia dan Malaysia termasuk Fur, Phum Viphurit, Reality Club, Sekumpulan Orang Gila (SOG), ramengvrl, Danilla Riyadi, Plague Of Happiness, Nicestupidplayground, Midnight Fusic dan banyak lagi,” jelas beliau.

Dalam pada itu Abdul Karim menambah, Festival Sunbear 2022 disasar untuk dijadikan sebagai festival tahunan yang akan memaparkan pemuzik antarabangsa dan tempatan, perarakan makanan, bengkel seni dan kraf tempatan.

“Culture and Art City akan menempatkan dan mempromosikan komponen seni dan kraf manakala Hungry Town ialah kawasan perarakan makanan dan melaluinya, pengunjung festival boleh menghilangkan rasa dahaga dan mengisi perut mereka,” ujarnya. 

Selain muzik, seni dan budaya, Abdul Karim berkata terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang akan diadakan semasa festival tersebut.

“Antara lainnya adalah Yoga oleh Maryam, E-sports Bay yang dikuasakan oleh SESA, Music Symposium oleh Bandat Record Store, Showreel (tayangan filem pendek) oleh Spativate, Vibin' by the LEK (Electronic Music Showcase) dan akhir sekali Ruai Seni Kita - pameran PKS tempatan Sarawak dalam industri kreatif,” jelas beliau.

Festival Sunbear ini diilhamkan dengan idea untuk mempromosikan pelbagai kumpulan bakat tempatan Sarawak untuk membuat persembahan di pentas sama dengan artis antarabangsa yang telah mencapai kemasyhuran global.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Festival Sunbear 2022 anjuran Solid Brick Event Company dan LivelnKch itu disampaikan oleh Pepsi, Leo Vuitton, Heineken, dengan The Borneo Post dan Utusan Borneo sebagai Rakan Media Rasmi Sarawak.

Layari www.liveinkch.com untuk mengira detik jualan tiket, program festival, pakej hotel dan banyak lagi.

Untuk maklumat terkini, ikuti Festival Sunbear di Facebook rasmi https://www.facebook.com/Sunbearfest dan Instagram Instagram Rasmi: https://www.instagram.com/sunbearfest/. Hubungi +6016 5768797 atau e-mel [email protected] untuk pertanyaan lanjut. 
 

Advertisement