Anda di sini

Enam maut ditembak di Walmart AS

Advertisement

Suspek dikenal pasti sebagai pengurus pasar raya itu turut membunuh diri sendiri

 Pegawai FBI dan agensi penguat kuasa lain memeriksa lokasi di mana suspek yang dikenal pasti sebagai Bing (gambar sisipan) telah menembak mati enam orang di pasar raya Walmart di Chesapeake, Virginia kelmarin. — Gambar AFP
LOKASI JENAYAH: Pegawai FBI dan agensi penguat kuasa lain memeriksa lokasi di mana suspek yang dikenal pasti sebagai Bing (gambar sisipan) telah menembak mati enam orang di pasar raya Walmart di Chesapeake, Virginia kelmarin. — Gambar AFP

CHESAPEAKE: Seorang pengurus yang berusia 31 tahun telah menembak mati enam orang di pasar raya Walmart yang penuh dengan pelanggan semasa cuti Hari Kesyukuran sebelum menghalakan pistol ke arah dirinya sendiri, kata pihak berkuasa kelmarin, dalam kes tembakan rawak berprofil tinggi kedua dalam tempoh empat hari di Amerika Syarikat (AS).

Empat orang lain masih dirawat di hospital berikutan amuk pada malam Selasa di Chesapeake, Virginia, menurut ketua polis Mark Solesky.

Lelaki bersenjata itu dipercayai telah meninggal dunia akibat “luka tembakan oleh dirinya sendiri,” kata Solesky kepada pemberita, sambil menambah bahawa motif di sebalik keganasan senjata api terbaru ini belum diketahui.

Pihak berkuasa bandar mengenal pasti penembak itu sebagai seorang penduduk Chesapeake, Andre Bing, menyatakan dia bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa magazin peluru. 

Walmart mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Bing merupakan ketua pasukan malam dan telah bekerja dengan syarikat itu sejak 2010.

Seorang pekerja bernama Briana Tyler – yang terselamat daripada serangan itu – menggambarkan adegan keganasan itu tercetus apabila pengurus tersebut memasuki bilik rehat kakitangan, lalu melepaskan tembakan.

“Dia tidak menyasarkan sesiapa secara khusus,” kata Tyler kepada program “Good Morning America” ABC. 

“Dia mula menembak di seluruh bilik rehat dan saya melihat ramai orang jatuh ke lantai, sama ada mereka cuba untuk berlindung atau mereka terkena tembakan.”

Dia berkata lelaki bersenjata itu memandang tepat ke arahnya dan melepaskan tembakan tetapi tersasar hanya beberapa inci. 

“Dia tidak bercakap sepatah perkataan pun,” kata Tyler.

Serangan itu berlaku dua hari sebelum keluarga Amerika cuti pada Khamis dan selepas serangan senjata api hujung minggu lalu di sebuah kelab LGBTQ di Colorado yang membunuh lima orang.

Dan kurang daripada 10 hari sebelum penembakan ini di Chesapeake, Virginia, tiga pelajar di Universiti Virginia yang bermain dalam pasukan bola sepak telah dibunuh oleh rakan sekelas selepas satu lawatan pada 13 November.

Presiden Joe Biden menyifatkan serangan itu tidak masuk akal dan berkata “kini lebih banyak meja akan mempunyai kerusi kosong pada Hari Kesyukuran di seluruh negara.”

Dalam serangan di Walmart, panggilan kecemasan dibuat sejurus selepas jam 10 malam Selasa semasa pasar raya masih dibuka. Chesapeake terletak kira-kira 240 kilometer tenggara ibu kota AS, Washington.

Pegawai penguat kuasa memasuki pasar raya itu beberapa minit kemudian, kata Solesky.

Penembak dan dua mangsa ditemui mati di bilik rehat, manakala satu lagi mayat ditemui di hadapan kedai. Tiga orang dibawa ke hospital dengan kesan tembakan, mereka kemudian meninggal dunia.

Mangsa yang termuda berusia 16 tahun, kata pegawai.

Terri Brown, yang ada di Walmart namun sudah pulang sejurus sebelum penembakan, menceritakan bahawa pasar raya itu penuh dengan pembeli hari cuti.

“Ia sangat sesak,” kata Brown kepada 13NewsNow. “Semua kaunter sibuk. Kebanyakan kaunter dibuka. Barisan yang sangat panjang di kaunter layan diri.”

Kelmarin, di tempat letak kereta Walmart, tugu peringatan sementara didirikan, dipenuhi bunga dan lilin elektrik kecil di bawah pita tempat kejadian jenayah. Belon putih, biru dan emas yang diikat pada pokok ditiup angin.

Walmart mengeluarkan satu kenyataan kelmarin bahawa syarikat itu bekerjasama dengan pasukan penyiasat penguat kuasa undang-undang dan “fokus untuk melakukan segala-galanya yang termampu untuk menyokong rakan dan keluarga mereka.”

Serangan senjata api di kedai runcit di AS telah menjadi semakin biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada Mei, seorang remaja lelaki yang bersenjata membunuh 10 orang di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York.

Tahun lalu kejadian tembakan di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado turut menyebabkan 10 maut. Dan dalam serangan yang sangat mengerikan pada 2019, seorang lelaki muda yang bersenjata  telah membunuh 23 orang dan mencederakan 26 yang lain selepas dia mengintai pembeli di Walmart di El Paso, Texas.

Tyler, pekerja kedai, memberitahu ABC bahawa pengurus berkenaan mempunyai watak yang aneh.

“Dia merupakan seorang pengurus yang perlu diperhatikan kerana sentiasa ada sesuatu yang tidak kena dengannya, asyik mempunyai masalah dengan orang lain,” katanya. 

“Saya tidak pernah menyangka dia akan melakukan perkara seperti ini.” — AFP
 

Advertisement