Anda di sini

Cilic ketuai Croatia ke separuh akhir Piala Davis

Advertisement
Cilic (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Sepanyol pada suku akhir Piala Davis di Malaga. — Gambar AFP
Cilic (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Sepanyol pada suku akhir Piala Davis di Malaga. — Gambar AFP

MALAGA: Marin Cilic mengetuai Croatia ke separuh akhir Piala Davis apabila menyingkirkan juara enam kali, Sepanyol, yang beraksi tanpa dua bintang utama, Carlos Alcaraz dan Rafael Nadal pada Rabu.

Cilic, pemain ranking ke-17 dunia yang juga bekas juara Terbuka Amerika (AS), bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain ranking ke-13, Pablo Carreno Busta 5-7, 6-3 dan 7-6(7/5) ketika Croatia menempah pertemuan separuh akhir menentang Australia.

Pada perlawanan awal, Borna Coric memulakan kemaraan juara 2005 dan 2018 itu apabila menewaskan Roberto Bautista Agut 6-4 dan 7-6(7/4).

Cilic, 34, yang membuat penampilan sulung dalam Piala Davis pad 2006, tewas set pertama dan juga ketinggalan pada permainan tiebreak set penentuan sebelum menang dalam masa tiga jam dan 13 minit.

Dia dibantu oleh 20 pukulan servis kencang untuk menangani 15 pukulan servis berganda dan sokongan padu penyokong Sepanyol di Palacio de Deportes untuk menyentak harapan pasukan tuan rumah meneruskan kemaraan.

“Ia pertarungan hebat,” kata Cilic.

Bagaimanapun, dia mengakui ketiadaan Alcaraz , juara Terbuka AS tahun ini dan bintang veteran Nadal memberikan kelebihan kepada Croatia, yang sebelum ini tewas semua tiga pertemuan menentang Sepanyol dalam Piala Davis.

“Ia jauh berbeza. Rafa sentiasa mengetuai cabaran pasukannya sebelum ini. Dia adalah salah seorang pemain terbaik dalam Piala Davis.

“Carlos, musim ini adalah musim hebat baginya dan ia menyedihkan kerana dia mengalami kecederaan.”

Kapten Sepanyol, Sergi Bruguera berasa terkilan dengan kekalahan pasukannya.

“Saya fikir tuah mempengaruhi keputusan dan Cilic beraksi lebih  baik hari ini,” katanya.

Coric, pemain ranking ke-26 dunia, melakukan 14 pukulan servis kencang ketika menewaskan lawannya  yang berada pada ranking ke-21 dunia. Dia juga  menewaskan lawan yang sama ketika memenangi kejuaraan Siri Master Cincinnati pada musim panas.

Bautista Agut berada dalam rentak tujuh kemenangan berturut-turut dalam Piala Davis, satu tempoh bermula dari 2019.

“Saya fikir secara amnya saya bermain dengan bijak. Apabila saya perlu menyerang, itulah yang saya lakukan. Apabila saya  perlu bertahan, saya akan bertahan,” kata Coric.

“Saya  juga menggabungkan rentak permainan, sesuatu yang sangat penting apabila menentang pemain sepertinya. Secara jujurnya saya berasa gembira.”

Perlawanan suku akhir lain menyaksikan Amerika Syarikat akan bertemu Itali sementara Jerman menentang Kanada untuk memburu slot terakhir ke separuh akhir. — AFP
 

Advertisement