Anda di sini

Terserah kepada Anwar lantik anggota kabinet bentuk kerajaan 

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berpendapat terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik anggota kabinet yang akan membentuk kerajaan kelak.

Bagaimanapun ADUN Asajaya itu berharap Sarawak tidak akan ketinggalan di belakang, terutama membabitkan jawatan kementerian yang penting. 

Jelas Abdul Karim juga, banyak sumber yang digunakan untuk membina Malaysia melalui Petronas diperoleh dari Sarawak.

Justeru menurutnya, pihak yang memegang kerajaan harus meneliti perkara tersebut.

“Perkara yang hendak kita lihat juga adalah kedudukan Sarawak terjaga, baik dalam kementerian mahupun jawatan-jawatan yang akan diberi. 

“Ia susulan kita (Sarawak) memainkan peranan besar dalam pembangunan Malaysia apatah lagi apabila banyak sumber diambil daripada kita,” katanya kepada pemberita pada sidang media Festival Sunbear 2022 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur ll di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Nasir Lariwoo, para penganjur dan pihak terlibat dalam festival.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, jam 5.06 petang.
 

  • oleh
  • Advertisement