Anda di sini

SPR tubuhkan dua pasukan pantau aktiviti calon berkempen

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang untuk memantau aktiviti kempen calon-calon yang bertanding.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata urusan penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman telah bermula pada pukul 9 hingga 10 pagi tadi.

"Sejurus tamatnya tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi, hanya satu kertas penamaan baharu telah dikemukakan oleh calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam PRU15 bagi Parlimen Padang Serai.

“Bagi Dewan Negeri Tioman juga satu kertas penamaan baharu calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dikemukakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 6 Dis ini.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis berikutan kematian calon PH, M. Karupaiya, 69, pada 16 Nov lepas.

Peguam Dr Mohamad Sofee Razak, 47, dinamakan calon PH bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C. Sivaraj  (Barisan Nasional (BN)-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih akan tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai satu daripada parti yang bertanding.

Sementara itu, pilihan raya DUN Tioman diadakan selepas calon PN Md Yunus Ramli meninggal dunia kira-kira 3.30 pagi pada hari pengundian PRU15 19 Nov lepas di Hospital Rompin, Pahang.

Calon wanita dari PAS, Nor Idayu Hashim, 35, dipilih mewakili PN dalam saingan lima penjuru iaitu Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly  (PH-Amanah), Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-UMNO) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Abdul Ghani berkata calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

"Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata SPR juga menyarankan semua yang terlibat dan hadir pada aktiviti berkempen, hari undi awal, hari mengundi serta semua urusan pilihan raya supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan. - Bernama 

Advertisement