Anda di sini

Polis tarik balik permohonan reman, Voon dan empat lelaki dibebaskan

Advertisement
Voon (tiga kiri) bersama Danny (empat kiri), Lue (kiri) dan dua lain dibebaskan.
Voon (tiga kiri) bersama Danny (empat kiri), Lue (kiri) dan dua lain dibebaskan.

KUCHING: Pihak polis hari ini menarik balik permohonan reman terhadap Voon Lee Shan dan empat lelaki lain yang ditahan bagi membantu siasatan membabitkan perhimpunan bantahan di hadapan Hotel Merdeka Palace di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini, petang Rabu.

Ia sekali gus membebaskan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) tersebut berserta anaknya Danny Voon Yung Ming dan tiga ahli parti PBK lain iaitu Lue Cheng Hing, Phang Aik Hua dan Chan Chee Wei daripada tahanan polis. 

Kelima-lima lelaki itu ditahan polis pada malam Rabu.

Susulan itu, kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi untuk permohonan reman yang sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Bagaimanapun difahamkan, berdasarkan arahan daripada pegawai atasan, pihak polis pagi tadi bertindak menarik balik permohonan reman terhadap lima individu tersebut.

Oleh itu, kesemua mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu pada Rabu, tular video berdurasi 20 saat menunjukkan satu perhimpunan bantahan diketuai Voon, disertai beberapa pengikutnya di hadapan Hotel Merdeka Palace sekitar jam 5.30 petang. 

Dalam ucapannya semasa perhimpunan tersebut, Voon mengatakan: "We don’t want party Islam di Sarawak, we are multiracial society di Sarawak, respect us, Abang Jo you have to respect Sarawakian, ini adalah tanah orang Sarawak." Sehubungan itu, laporan dibuat untuk tindakan selanjutnya. 

Sementara itu, Voon ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini berkata, situasi ini telah memalukan semua pihak.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam kes sebegini, pihak polis akan membebaskan seseorang itu dengan jaminan polis. Justeru, kenapa kami dibawa ke mahkamah untuk direman? Terdapat persoalan besar dalam hal ini, apatah lagi selepas itu kami dibebaskan begitu sahaja secara tiba-tiba," ujarnya.

Merujuk kepada perhimpunan bantahan itu pula Voon menjelaskan bahawa beliau mempunyai kewajipan kepada diri sendiri, orang ramai dan rakyat Sarawak secara umumnya, untuk memastikan pihak berkepentingan tidak akan menyalahgunakan kuasa. 

"Sehubungan itu juga, saya berharap orang ramai memahami bahawa sebagai Presiden PBK dan seorang ahli politik, saya mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk berbuat demikian," katanya lagi.

Beliau juga berharap agar pihak polis berhati-hati ketika berurusan dengan orang awam.

Salah seorang peguam mewakili Voon iaitu Dominique Ng pula berkata, pihak mereka hampa dengan situasi itu kerana anak guamnya masih dihadapkan ke mahkamah dengan keadaan bergari walaupun mereka (pihak polis) mengetahui bahawa anak guamnya boleh dibebaskan dengan jaminan polis.

"Voon dan individu-individu yang lain hanya menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan tidak melakukan sebarang jenayah.

"Saya fikir ini merupakan sesuatu situasi yang akan mengingatkan polis pada masa hadapan supaya tidak menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya. 

Selain Ng, kesemua lima individu tersebut diwakili peguam Patrick Voon, Tiong Ing Neng, R.J Noel, Lim Heng Choo, Steven Sia dan Alex Kong.
 

  • oleh
  • Advertisement