Anda di sini

Pemandu lori didenda akibat ugut bunuh isteri

Advertisement
 

KUCHING: Padah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh isteri sendiri, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Junaidi Joni, 57, mengaku bersalah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy, sebaik didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia 46 tahun di kediaman mereka sekeluarga di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bintawa Tengah, Petra Jaya di sini, sekitar jam 8 pagi, pada 21 November lalu. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak mencekik leher, menampar muka dan menendang badan mangsa berkali-kali semasa mereka berada di dalam bilik tidur. 

Tertuduh juga mengugut hendak membunuh mangsa sekiranya mangsa memberitahu perkara yang berlaku kepada bapanya. 

Akibat kejadian, mangsa mengalami sakit di seluruh badan.

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarga, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 22 November 2022, sekitar jam 12.15 tengah malam. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh menyebabkan ketakutan kepada mangsa dengan mengeluarkan kata ugutan mahu membunuh mangsa.

Selain itu, laporan perubatan juga menyatakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana tertuduh menuduh mangsa membuka beg sandang milik tertuduh. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement