Anda di sini

Malaysia mampu maju di bawah pimpinan Anwar

Advertisement
 

SIBU: Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zon Tengah George Chen yakin Malaysia mampu maju seiring dengan negara membangun lain di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ketika dihubungi hari ini, beliau juga berharap di bawah kepimpinan Anwar politik Malaysia akan lebih bertolak ansur terhadap penerimaan masyarakat berbilang kaum.

Beliau percaya jika Malaysia mengetepikan semua perbezaan, sama ada dalam politik atau agama dan budaya, negara boleh melakukan sesuatu yang lebih baik dan rakyat akan mempunyai banyak harapan dan kepercayaan kepada negara.

“Terima kasih kepada semua rakyat kerana menerima mesej seperti ini untuk pembaharuan.

"Kita perlu berubah secara drastik supaya dapat memimpin masyarakat kita dalam keadaan harmoni, aman dan maju,” katanya.

Chen juga menyifatkan perubahan ini sebagai satu kejayaan besar untuk semua rakyat Malaysia.

Tanpa kesedaran dan kesegeraan, perubahan daripada rakyat tidak akan berlaku sebarang perubahan kerajaan, katanya.

Katanya, sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memutuskan untuk membentuk pakatan dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan, maka adalah penting untuk mengetepikan segala perbezaan dan kebencian yang pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun jika GPS memilih untuk tidak mengikutnya, beliau berkata, tidak mengapa kerana mereka juga boleh memastikan semak dan imbang dalam kerajaan.

Beliau juga berkata, jika GPS memutuskan untuk membentuk pakatan, maka kuasa tawar menawar untuk memulihkan kuasa yang telah hilang di negeri ini akan lebih banyak lagi dan akan menguntungkan kedua-dua Sarawak dan Sabah.

Selain itu, Chen juga berharap dengan perkongsian kuasa itu, lebih banyak dana pembangunan akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita kaya dengan sumber dan sejak enam dekad lalu, kita telah dipinggirkan.

"Sudah tiba masanya, kita bukan sahaja memulihkan kuasa tetapi juga seiring dengan pembangunan dalam semua aspek dengan Malaysia Barat,” katanya.

Sementara itu, Chen yang bertanding di kerusi Parlimen Kanowit sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir baru-baru ini berkata, sebaik mendengar berita pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada  Anwar dan keluarganya.

“Selepas lebih 20 tahun perjuangan reformasi, sebagai salah seorang ahli pasukan reformasi, saya amat terharu dan mengucapkan tahniah atas pengorbanan dan sumbangan beliau dalam perubahan landskap politik di Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun telah meninggalkan PKR, beliau dan Anwar berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa berkomunikasi, malah terus berhubung semasa pilihan raya negeri lalu pada 2021.

Beliau berkata, sebab mengapa beliau bertanding pada PRU15 adalah kerana rakyat dan masih mahu bersama Pakatan Harapan (PH).

Sepanjang kempen, Chen juga pernah berkata jika menang pilihan raya beliau akan kembali kepada PH.

“Semasa kempen, saya tidak pernah menentang PH.

"Saya percaya tiada salah untuk saya kembali untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement