Anda di sini

Majlis Tertinggi PN setuju pertimbang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan yang diadakan hari ini.

"Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengakhiri kemelut politik negara yang berlaku ketika ini, selepas tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu. - Bernama 

Advertisement