Anda di sini

Lima maut, 40 cedera dalam letupan tangki gas di Iraq

Advertisement
Saudara-mara meratap di sebelah keranda orang yang terbunuh dalam kejadian letupan tangki gas di sebuah asrama pelajar di Dohuk, Iraq kelmarin. — Gambar AFP
Saudara-mara meratap di sebelah keranda orang yang terbunuh dalam kejadian letupan tangki gas di sebuah asrama pelajar di Dohuk, Iraq kelmarin. — Gambar AFP

DOHUK: Lima orang maut dan 40 lagi tercedera apabila sebuah tangki gas meletup dan mencetuskan kebakaran di sebuah asrama pelajar di utara Iraq, kata pihak berkuasa kelmarin.

Letupan itu berlaku pada malam Isnin apabila sebuah tangki gas di atas bumbung bocor di bangunan yang menempatkan asrama pelajar dan sebuah kedai membuat roti di bandar Kurdis di Dohuk.

“Gas bocor, sampai ke bilik pelajar dan polis tiba untuk memindahkan mereka,” gabenor Dohuk, Ali Tatar, memberitahu AFP. 

“Malangnya pada masa itu letupan telah berlaku.”

Seorang pelajar, seorang pekerja kedai membuat roti dan tiga anggota polis yang tiba sebagai sebahagian daripada respons kecemasan telah terkorban, termasuk timbalan pengarah unit tersebut, kata Tatar.

Ia merupakan letupan kedua tangki gas petroleum cecair (LPG) di Kurdistan, Iraq dalam masa kurang dari seminggu.

Pada Khamis lepas, 15 orang terbunuh di Sulaimaniyah apabila sebuah tangki LPG meletup dan menyebabkan sebuah bangunan runtuh.

Berikutan kematian pada Isnin, pihak berkuasa di wilayah separa autonomi Kurdis itu mengumumkan pengharaman ke atas tangki LPG bagi kegunaan domestik.

Letupan di Dohuk merupakan tragedi terkini yang menyerlahkan infrastruktur usang di Iraq dan piawai keselamatan yang tidak ketat.

Pada 15 dan 17 November, kebakaran meletus di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad. Serta pada lewat Oktober, sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban apabila sebuah tangki gas meletup di  Baghdad. — AFP

Advertisement