Anda di sini

Kerajaan perpaduan Anwar perlu disokong semua rakyat Malaysia

Advertisement
 

BINTULU: Dengan pembentukan kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diharapkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan agama sama-sama berganding bahu dan melakukan yang terbaik untuk negara Malaysia.

Pegawai kanan sebuah universiti di sini Roslan Ismail (gambar) berkata, harapan buat Malaysia ialah satu hasrat dan niat semua rakyat Malaysia untuk melihat negara ini makmur dan berjaya.

Katanya, ia bukan ditujukan kepada mana-mana pakatan, kumpulan atau gerombolan tetapi buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan agama untuk sama-sama berganding bahu dan melakukan apa yang terbaik untuk Malaysia.

"Untuk mengubah keadaan sekitar kita, maka kita harus ubah diri kita dahulu.

"Mulakan dengan menolak yang pincang, berlaku adil kepada semua dan bersifat lembut dan sopan sesama kita dan menjadikan perpaduan antara kita untuk mengeratkan ukhuwah rakyat Malaysia khususnya," katanya mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan perpaduan hari ini.

Pada masa sama katanya, harapan untuk Malaysia itu tidak boleh ditentukan secara menyeluruh oleh mana-mana individu atau parti politik.

Justeru beliau berharap kerajaan baharu ini akan lebih cakna dengan hasrat yang dipikul, disimpan dan diharap oleh segenap rakyat Malaysia yang mahu melihat sebuah negara yang lebih baik, makmur, berjaya, dapat memikul amanah dan kepercayaan rakyat Malaysia.

Ujarnya, perpaduan ditakrifkan sebagai hubungan erat atau bersifat toleransi yang diwujudkan dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. 

Katanya, dalam erti kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti, nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. 

"Malaysia merupakan salah satu negara berbilang kaum yang dapat hidup dengan harmoni.

"Perpaduan tidak akan tercapai jika ada segelintir pihak cuba menjadi batu api dan menyemarakkan lagi isu perkauman dalam kalangan kaum di Malaysia," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement