Anda di sini

Kepimpinan GPS utamakan kestabilan politik dan fokus pembangunan

Advertisement
 

BINTULU: Sikap kepimpinan negeri ini terutama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bersama-sama menyambut baik pembentukan kerajaan perpaduan sebagai sikap yang amat dipandang tinggi, kata Pengerusi Persatuan Bangsa Sekapan Belaga Erick Drenner Dangan (gambar), 40.

Katanya, sebagai pemimpin beliau telah meletakkan keutamaan kepada kestabilan politik dan negara serta turut memberi lebih fokus kepada pembangunan.

Tambahnya, (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim boleh digelar Bapa Reformasi dengan menyatukan semula rakyat Malaysia yang pelbagai etnik dan agama sehingga kepelbagaian itu menjadi kekuatan kepada Malaysia serta membawa Malaysia ke landasan sebenar supaya mampu bersaing dengan negara maju yang lain.

Erick mengucapkan tahniah atas pelantikan itu serta mendoakan Perdana Menteri baharu ini dapat mengemudi Malaysia ke arah negara maju serta diberi kesihatan yang baik.

"Daulat Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana telah membuat keputusan yang tepat meletakan kepentingan negara dan rakyat jelata sebagai keutamaan.

"Terima kasih juga kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan petugas keselamatan yang lain kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam PRU15," katanya.

Dengan terbentuknya kerajaan perpaduan ini katanya, diharapkan Anwar dapat mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara yang digeruni pada suatu ketika dahulu.

Pada masa yang sama beliau turut berharap Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memperjuangkan hak-hak Sarawak khususnya yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Dasar-dasar yang berat sebelah dalam pelbagai aspek harus digubal semula dalam sidang Parlimen misalnya pengagihan sumber kekayaan melalui bajet tahunan, sektor pendidikan, kesihatan dan lain-lainnya yang bersifat adil dan seimbang perlu sentiasa diutamakan demi menjulang semangat keadilan dan kemakmuran," katanya.

"Sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini saya berharap akan ada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa dari Sarawak dan Sabah untuk mengukuhkan lagi kestabilan dalam kerajaan perpaduan ini," katanya.

Katanya, sebagaimana sedia maklum Perdana Menteri adalah seorang yang disegani di luar negara dan berharap pengaruh beliau dapat mengembalikan semula kepercayaan dunia luar dan membawa pelabur-pelabur kembali melabur di Malaysia. 

"Ia akan meningkatkan sumber ekonomi negara serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat," tambahnya.

 

Dalam pada itu, Azman Drahman (gambar), 55, berkata, sesiapa pun boleh menjadi Perdana Menteri berdasarkan pemilihan yang telus dalam negara demokrasi tetapi yang penting dalam fasa pemulihan ekonomi Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah layak untuk jawatan itu daripada yang lain.

Katanya, beliau sebagai bekas Menteri Kewangan masa era (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pihak Istana dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan yang bijak untuk menentukan kepimpinan negara ini.

"Baginda tidak akan memilih pemimpin yang sembarangan sebaliknya bagi saya yang penting adanya kemakmuran dan ekonomi yang kukuh.

"Saya merasakan Datuk Seri Anwar memang patut diberi peluang untuk lima tahun memerintah dengan harapan beliau akan merealisasikan misi dan visinya secara bijak serta turut berharap hubungan dengan negara luar akan menjadi lebih baik," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement