Anda di sini

Kekalahan kepada Arab Saudi satu ‘tamparan hebat’: Messi

Advertisement
 

DOHA: Lionael Messi mengakui kekalahan mengejut Argentina kepada Arab Saudi ialah “tamparan yang amat besar” tetapi berjanji bahawa juara Amerika Selatan itu akan bangkit daripada kekalahan tersebut.

“Ia satu tamparan yang sangat besar, kekalahan yang menyakitkan, tetapi kami mesti terus yakin dengan diri kami sendiri,” kata Messi selepas Argentina tewas 1-2 dalam Kumpulan C.

“Skuad ini tidak akan berputus asa. Kami akan cuba menewaskan Mexico,” tambahnya.

Messi memberikan Argentina pendahuluan pada minit ke-10 kelmarin, menerusi sepakan penalti di stadium Lusail tetapi gol separuh masa kedua daripada Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari menghadiahkan Arab Saudi satu daripada kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia.

Keputusan boleh menjadi sangat berbeza tetapi tiga penafian ekoran ofsaid tipis pada separuh masa pertama telah mengekang Argentina daripada potensi tiga gol.

Pada separuh masa kedua, anak buah jurulatih Lionel Scaloni gagal mengeksploitasi barisan pertahanan Saudi.

“Kami tahu Arab Saudi merupakan sebuah pasukan yang mempunyai pemain yang bagus, yang mengawal bola dengan baik dan bermain dengan tahap tinggi,” kata Messi.

“Kami berusaha tetapi kami agak tergesa-gesa. Pada kedudukan 2-1 kami tidak menjadi teratur, kami kehilangan prestasi kami dan mula terdesak membawa bola ke tengah.”

Messi menegaskan bahawa skuad akur dengan kekalahan mereka dan berkata pemain berazam untuk memperbaiki keadaan dalam perlawanan seterusnya.

“Tiada alasan, kami akan lebih bersatu berbanding sebelum ini,” katanya.

“Kumpulan ini kuat dan pernah menunjukkannya sebelum ini. Sudah lama kami tidak berada dalam situasi ini. Sekarang kami mesti menunjukkan bahawa ini ialah kumpulan yang sebenar.”

The Albiceleste mempunyai dua perlawanan baki dalam Kumpulan C – menentang Mexico pada hari Sabtu dan kemudian Poland pada hari Rabu – untuk cuba menghidupkan harapan mereka untuk merangkul gelaran dunia ketiga. — AFP

Advertisement